‘RELAY FOR LIFE’: USM SATUKAN KOMUNITI PERANGI KANSER
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 April 2026 – Kanser kekal sebagai antara penyakit paling digeruni dan menjadi pembunuh senyap dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan muda mahupun golongan berusia. Gaya hidup serta pemakanan tidak sihat dikenal pasti sebagai antara faktor peningkatan kes penyakit ini.

Sehubungan itu, pengesanan awal melalui saringan kesihatan amat penting kerana ia meningkatkan peluang rawatan yang berkesan.
Menyedari hakikat tersebut, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi USAINS Healthcare Sdn Bhd menganjurkan Program ‘Relay for Life - Torch Relay (Run for Gold)’ bermula di hadapan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kesihatan USM dan berakhir di hadapan Perkhidmatan Kesihatan Eksekutif Hospital Pakar USM (HPUSM), hari ini.

Menurut Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, program tersebut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, menggalakkan saringan awal serta memperkukuh sokongan kepada pesakit kanser dan keluarga.
“Program seumpama ini bukan sahaja mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan kesedaran terhadap penyakit kanser, malah turut menyatukan masyarakat dalam semangat kebersamaan, keprihatinan dan solidariti antara satu sama lain.

“Berdasarkan laporan World Health Organization (WHO), kanser merupakan antara penyebab utama kematian di seluruh dunia dengan hampir satu (1) daripada enam (6) kematian berkaitan penyakit tersebut.
“Di Malaysia pula, dianggarkan satu daripada 10 individu berisiko menghidap kanser sepanjang hayat,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Tambah Ab Rahman Izaini, kanser bukan sahaja memberi kesan dari sudut fizikal, malah turut memberi impak besar kepada emosi, psikologi dan kewangan pesakit serta keluarga.
“Justeru, pendekatan menyeluruh merangkumi rawatan, sokongan psikososial dan bantuan kewangan amat diperlukan.

“Program seperti ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal dan saringan berkala, di samping memperluaskan akses kepada rawatan berkualiti serta memberi sokongan kepada pesakit dan penjaga.
“HPUSM juga sentiasa komited menyokong usaha berkaitan pencegahan dan rawatan kanser melalui kerjasama strategik bersama rakan komuniti termasuk National Cancer Society of Malaysia (NCSM),” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan, institusi kesihatan, badan bukan kerajaan dan sektor swasta untuk terus memperkukuh kerjasama dalam memerangi kanser.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada aktivis kesedaran kanser, Lim Shyang Guey atas inisiatif yang digerakkan, sebagai simbol kasih sayang, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran, khususnya dalam perjuangan melawan kanser,” jelasnya.

Program ini turut menyaksikan penglibatan aktif pelajar dan kakitangan USM, sekali gus mencerminkan nilai empati, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga kampus.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 137