‘RETURN TO WORK’: PROGRAM PEMULIHAN KEMBALIKAN KEYAKINAN UNTUK BEKERJA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Mei 2025 – Setiap orang pastinya mengimpikan kesihatan berpanjangan dan dijauhkan daripada sebarang kecelakaan, kecederaan atau ditarik nikmat sihat.
Namun, hakikat kehidupan tidak seindah yang diharapkan. Ramai di antara kita yang diuji dengan penyakit kronik atau kecederaan akibat kemalangan sehingga menjejaskan keupayaan untuk bekerja. Dalam menghadapi ujian ini, harapan untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa termasuk bekerja dan menyara keluarga menjadi pemangkin semangat buat mereka.
Menyedari hakikat ini, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Perkhidmatan Kesihatan Eksekutif (USAINS) dan Unit Perubatan Pemulihan dan Rehabilitasi Hospital Pakar USM (HPUSM) menjalinkan kerjasama stategik dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan program ‘Return to Work’ (RTW) untuk membantu pekerja yang sakit atau cedera kembali bekerja secara selamat, produktif dan bermaruah.
Menurut Ketua Program RTW yang juga Pensyarah dan Pakar Perubatan Pemulihan, Unit Perubatan Pemulihan dan Rehabilitasi HPUSM, Dr. Al Hafiz Ibrahim, program RTW merupakan satu inisiatif penting dalam membantu pesakit yang mengalami ketidakupayaan akibat kecederaan atau penyakit.
“Pesakit yang menyertai program RTW akan dibimbing secara sistematik bagi membolehkan mereka kembali bekerja dalam kapasiti yang sesuai dengan keupayaan semasa mereka.
“Di HPUSM, pendekatan ini telah diperluaskan melalui kerjasama strategik antara institusi kesihatan, majikan dan pihak PERKESO.
“Ia bukan sahaja memberi peluang kedua kepada individu yang terkesan malah membuktikan bahawa pemulihan dan penyertaan semula dalam dunia pekerjaan adalah sesuatu yang realistik dan boleh dicapai,” katanya ketika ditemu bual.
Tambah beliau, pelaksanaan program ini terbahagi kepada beberapa fasa iaitu intervensi awal (pesakit dirujuk ke program RTW seawal mungkin selepas didiagnosis atau selepas mengalami kecederaan), penilaian fungsi dan pekerjaan (menilai keupayaan kerja semasa dan potensi untuk melakukan kerja yang sama selepas menyertai RTW), lawatan tempat kerja (menilai kesesuaian tempat kerja dan cadangan modifikasi atau penempatan semula) dan latihan semula (‘reskilling/ upskilling’ bagi mereka yang tidak boleh kembali melakukan pekerjaan asal).
”Perkhidmatan ini mengabungkan multidisiplinari pasukan (team) yang terdiri dari Pakar Perubatan Pemulihan, Pegawai Perubatan, Jurupulih Carakerja (OT), Jurupulih Anggota (PT), Jurupulih Percakapan (Speech Therapist), Pegawai Psikologi dan lain – lain lagi.
“Setiap pasukan mempunyai peranan masing- masing. Pakar perubatan pemulihan terlibat dalam mengenal pasti masalah medikal dan surgikal serta kehilangupayaan pesakit dan mereka akan menghubungkan pesakit kepada bahagian lain seperti PT dan OT yang akan membuat penilaian dan rawatan mengikut kesesuaian pesakit.
“Contohnya, perkhidmatan ‘Terapi Carakerja’, ahli terapi carakerja akan bekerjasama dengan pesakit untuk meningkatkan keupayaan mereka menjalani aktiviti harian dan mencapai tahap kebebasan yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Al Hafiz berkata, antara perkhidmatan yang ditawarkan dibawah program RTW ini ialah fisioterapi.
“Fisioterapi ini memberi tumpuan kepada pemulihan pergerakan dan fungsi tubuh melalui pelan senaman peribadi, terapi manual serta penggunaan teknologi moden dalam pelbagai keadaan pesakit termasuk pemulihan pasca pembedahan, kecederaan sukan, pengurusan kesakitan kronik serta masalah pergerakan dan mobiliti.
“Kami turut menawarkan penyelesaian pengurusan kesakitan tanpa pembedahan yang disesuaikan mengikut keperluan khusus setiap pesakit menggunakan teknik elektroterapi, terapi ultrasound dan senaman terapeutik melalui perkhidmatan ‘Pain Management’,” katanya.
Al Hafiz turut menjelaskan bahawa program RTW ini dijalankan berdasarkan pengalaman beliau dan pasukan yang melihat dan memikirkan ramai pesakit mempunyai halangan atau masalah untuk kembali bekerja selepas mengalami kecederaan atau kemalangan.
“Dari situlah tercetus idea untuk melaksanakan program RTW kerana memikirkan mereka (pesakit) sebenarnya mampu atau layak untuk kembali bekerja tetapi disebabkan halangan-halangan ini, mereka tersekat atau tidak tahu bagaimana cara untuk mereka kembali bekerja,” katanya.
Menurut Al Hafiz, kesediaan majikan untuk menerima pesakit ini kembali bekerja juga memainkan peranan penting agar pesakit ditempatkan di lokasi yang bersesuaian dengan keadaan fizikal mereka sekarang.
“Kami lihat melalui program RTW ini, kesediaan pesakit untuk kembali bekerja agak tinggi kerana kebanyakan mereka merupakan ketua keluarga atau punca pendapatan keluarga mereka sendiri.
“Kami juga akan bekerjasama dan berdiskusi dengan majikan untuk mencapai persetujuan yang terbaik agar mereka boleh menerima pesakit itu bekerja semula dengan mereka.
“Bagi pesakit, program ini bukan sekadar peluang pekerjaan, tetapi juga satu sinar harapan dan bukti bahawa kehidupan masih boleh diteruskan dengan bermaruah selain membuatkan mereka rasa dihargai, meningkatkan keyakinan diri dan yang paling penting membolehkan mereka terus menyara keluarga tersayang,” ujarnya lagi.
Al Hafiz berkata, sepanjang beliau merawat pesakit yang mengalami masalah ini, tahap kesedaran pesakit amat rendah dan kebanyakan mereka tidak tahu atau tidak sedar akan kewujudan program RTW oleh PERKESO yang sangat menitikberatkan pesakit-pesakit yang mengalami kecederaan agar mereka dapat kembali bekerja.
“Pesakit yang menyertai program RTW mempunyai peluang lebih cerah untuk kembali bekerja kerana pihak kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu mereka pulih sepenuhnya atau separa untuk kembali menyara keluarga mereka seperti dahulu.
“Pihak PERKESO juga akan membantu mengadakan pencarian kerja untuk pesakit-pesakit ini dan cuba meletakkan mereka di tempat yang bersesuaian,” jelasnya.
Al-Hafiz turut menasihatkan para pesakit yang mempunyai niat untuk kembali bekerja agar segera menghubungi pengurus kes PERKESO mereka atau boleh terus ke HPUSM melalui USAINS untuk menyertai program ini.
“Kami akan membantu seberapa yang boleh agar hasrat mereka untuk kembali bekerja tercapai kerana tanpa melakukan sesuatu atau menyertai program RTW ini, mereka mungkin kehilangan punca kewangan untuk selamanya.
“Satu kepuasan bagi kami apabila melihat para pesakit yang kami bantu dan rawat ini kembali bekerja dan menyara keluarga masing-masing,” katanya mengakhiri temu bual.
Sementara itu, Penyelaras Unit Perubatan Pemulihan dan Rehabilitasi HPUSM, Profesor Madya Dr. Muhammad Hafiz Hanafi, pula menjelaskan bahawa program RTW PERKESO-USM ini memberi impak yang sangat signifikan di mana orang yang berinsurans PERKESO dapat dibantu dengan lebih baik dan optimum proses rehabilitasi mereka.
“Saya berharap agar seramai mungkin orang berinsurans PERKESO memanfaatkan program ini supaya dapat menyumbang bukan sahaja kepada pekerjaan mereka tetapi juga kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
”Program rehabilitasi yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak PERKESO ini boleh disertai dengan menghubungi pihak USAINS ditalian 09-7666200 untuk maklumat lebih lanjut.
”Semoga dengan adanya program RTW ini, pesakit dapat kembali bekerja dan berbakti kepada masyarakat dengan lebih cepat,” ujarnya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 131