Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

“MAMA, SAYA TAK NAMPAK”: ADUAN ANAK SELAMATKAN PENGLIHATANNYA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Ogos 2026 – Aduan perubahan penglihatan secara tiba-tiba dalam kalangan kanak-kanak tidak seharusnya dianggap sebagai masalah mata biasa kerana dalam keadaan tertentu, ia boleh menjadi petunjuk kepada komplikasi serius yang memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan kehilangan penglihatan kekal.

Menurut Pakar Pediatrik Otorinolaringologi (ORL), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Azliana Aziz, kepekaan ibu bapa terhadap perubahan penglihatan yang dialami kanak-kanak amat penting kerana mereka mungkin tidak mempunyai keupayaan untuk menerangkan simptom secara terperinci.

“Kanak-kanak mungkin hanya mengadu seperti ‘mama, saya tak nampak’, ‘mata saya kabur’ atau ‘saya nampak sebelah sahaja’, namun aduan ringkas seperti ini perlu diberi perhatian, khususnya apabila perubahan penglihatan berlaku secara tiba-tiba atau hanya melibatkan sebelah mata.

“Dalam keadaan tertentu, perubahan penglihatan boleh berkait dengan masalah pada struktur di sekeliling mata, termasuk sinus yang mempunyai hubungan anatomi yang sangat hampir dengan saraf optik,” katanya ketika ditemu bual.

Beliau berkata, perkara tersebut terbukti dalam kes seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan (8) tahun yang hadir dengan gangguan penglihatan pada sebelah mata dan kemudiannya didapati mengalami keradangan pada sinus sphenoid.

“Sinus sphenoid merupakan salah satu ruang sinus yang terletak jauh di bahagian belakang hidung dan berdekatan dengan beberapa struktur penting, termasuk saraf optik serta salur darah utama.

“Walaupun komplikasi penyakit sinus yang melibatkan saraf optik jarang berlaku, keradangan pada kawasan tersebut berpotensi menyebabkan radang atau tekanan terhadap saraf optik dan seterusnya mengganggu fungsi penglihatan,” jelasnya lagi.

Tambah Azliana, keadaan yang dialami kanak-kanak tersebut dikenali sebagai ‘Inflammatory optic neuropathy’, iaitu gangguan fungsi saraf optik akibat radang terhadap saraf berkenaan.

“Keradangan yang berterusan terhadap saraf optik boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan atau ‘irreversible optic neuritis’ sekiranya rawatan tidak diberikan pada masa yang sesuai.

“Oleh itu, apabila terdapat gangguan penglihatan yang ketara, penilaian secara menyeluruh dan tindakan pantas amat penting bagi mengenal pasti punca serta mengelakkan kerosakan penglihatan kekal,” ujarnya.

Mengulas mengenai kes berkenaan, Azliana berkata, penilaian bersama pasukan Oftalmologi dan Otorinolaringologi mendapati terdapat radang terhadap saraf optik sebelah kanan yang berkemungkinan berkaitan dengan masalah pada sinus sphenoid.

“Hasil perbincangan bersama pasukan multidisiplin, keputusan dibuat untuk melakukan pembedahan kecemasan menerusi prosedur ‘Right Transnasal Sphenoidotomy’ bagi membuka sinus sphenoid yang terlibat.

“Pembedahan dilakukan secara endoskopi melalui laluan hidung tanpa memerlukan sebarang pemotongan pada muka, sekali gus membolehkan kawasan sinus tersebut dicapai secara terus,” katanya lagi.

Menurut beliau, pemeriksaan semasa pembedahan mendapati rongga hidung kanak-kanak itu bersih tanpa kehadiran nanah, polip atau ketumbuhan yang jelas, namun terdapat penebalan tisu di dalam sinus sphenoid yang terlibat.

“Sampel tisu tersebut kemudiannya dihantar untuk pemeriksaan histopatologi dan ujian mikrobiologi bagi mengenal pasti kemungkinan punca jangkitan atau keradangan.

“Pembedahan berjaya diselesaikan dan pesakit dipantau dengan rapi selepas prosedur bagi menilai perkembangan keadaan klinikal serta fungsi penglihatannya,” ulasnya lanjut.

Azliana berkata, hasil pemeriksaan pada hari pertama selepas pembedahan menunjukkan ketajaman penglihatan mata kanan kanak-kanak tersebut telah kembali kepada 6/6.

“Bagi doktor, bacaan 6/6 merupakan satu ukuran klinikal, tetapi bagi seorang kanak-kanak berusia lapan (8) tahun, ia membawa makna yang jauh lebih besar kerana penglihatan yang kembali normal membolehkannya melihat wajah ibu bapa, membaca, belajar, bermain dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Pemulihan ini juga menunjukkan kepentingan pengesanan awal, rujukan yang tepat serta tindakan pantas apabila fungsi penglihatan terjejas,” jelasnya.

Dalam masa sama, Azliana berkata, pengurusan kes kompleks seperti ini memerlukan kerjasama erat antara pelbagai disiplin bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang tepat dan selamat.

“Pasukan Otorinolaringologi mengendalikan aspek berkaitan penyakit dan pembedahan sinus, manakala pasukan Oftalmologi menilai fungsi penglihatan serta keadaan saraf optik.

“Pasukan Radiologi pula membantu dari aspek pengimejan, sementara pasukan Anestesia memastikan keselamatan pesakit sepanjang prosedur dan pegawai perubatan serta jururawat menjalankan pemantauan sebelum dan selepas pembedahan,” terangnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa ibu bapa perlu membawa anak mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera sekiranya mengalami perubahan penglihatan secara tiba-tiba, penglihatan berkurangan pada sebelah mata, penglihatan berganda, sakit mata, bengkak di sekitar mata, sakit kepala yang luar biasa atau gejala neurologi yang baharu.


“Tidak semua sakit kepala, selesema atau hidung tersumbat menunjukkan keadaan serius dan komplikasi sinus terhadap saraf optik sememangnya jarang berlaku.

“Namun, perubahan penglihatan yang berlaku secara tiba-tiba merupakan tanda amaran yang tidak wajar diabaikan kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh meningkatkan risiko kerosakan penglihatan yang kekal.

“Justeru, ibu bapa perlu mendengar dan mengambil serius setiap aduan luar biasa yang disampaikan oleh anak kerana kadangkala satu ayat ringkas seperti ‘mama, saya tak nampak…’ boleh menjadi petunjuk penting yang membantu menyelamatkan penglihatan mereka,” katanya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 174