Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

15 TAHUN BERTAPAK DI USM, AUDIOLOGI SEMAKIN BERKEMBANG

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Februari 2020 – Bemula dengan pengambilan 10 orang pelajar pertama sidang akademik 2005/2006, kini setelah 15 tahun bertapak di Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Pengajian Sains Kesihatan boleh berbangga kerana telah berjaya melahirkan seramai 145 orang graduan dalam bidang Audiologi.

 

IMG_20200302_180333.jpg

 

Menurut Pensyarah Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Maziah Ramli, setelah 15 tahun program Audiologi ditawarkan di PPSK, kami mengambil inisiatif untuk mewujudkan Persatuan Alumni Audiologi bagi mengeratkan hubungan serta menyebarluas maklumat berkaitan audiologi bukan sahaja untuk menarik minat pelajar memohon kursus ini bahkan isu yang lebih penting adalah untuk mendekati masyarakat serta memberikan pendedahan dan kesedaran kepentingan ujian saringan audiologi ke atas anak-anak mereka di awal usia.

 

audio.jpg

 

“Penubuhan Persatuan Alumni Audiologi adalah untuk merealisasikan hasrat universiti yang menginginkan para alumni bekerjasama dengan universiti dari pelbagai aspek seperti bantuan pengajaran dan pembelajaran, perkongsian kerjaya dan kempen-kempen yang berkaitan bagi memperkenalkan audiologi kepada masyarakat secara menyeluruh.

“Walaupun persatuan alumni ini masih di peringkat awal, namun kami telah merancang beberapa aktiviti seperti melakukan ‘hearing screening’ kepada orang ramai dan menyediakan lori bergerak untuk memudahkan perawatan kepada komuniti”, ujar beliau yang ditemui semasa Majlis Pelancaran Persatuan Alumni di sini.

 

IMG_20200302_180348.jpg

Sementara itu, alumni kohort pertama, Norsuhana Nordin, 34, dari Terengganu berpendapat program Audiologi yang ditawarkan di PPSK semakin berkembang dan diminati serta ramai pelajar yang mula menyedari kelebihan program ini berbanding 15 tahun yang lalu.

“Kalau diikutkan program audiologi bukan pilihan saya namun bila diberi peluang untuk belajar bidang tersebut dan dalam masa empat tahun, saya berjaya menamatkan pelajaran, saya merasakan bidang audiologi mempunyai keistimewaan tersendiri dan saya mengharapkan bidang ini akan diminati setanding dengan kursus-kursus perubatan serta kesihatan yang lain.

“Walaupun bidang audiologi tidak begitu dikenali, tapi alhamdulillah kesemua graduan audiologi USM kini berkhidmat di seluruh Malaysia sama ada di hospital kerajaan, hospital swasta mahupun dengan syarikat-syarikat alat bantu pendengaran”, tambahnya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Alumni Audiologi USM turut mengharapkan agar ahli-ahli alumni dapat turun padang bersama-sama unit Audiologi USM dalam memberikan bantuan dari segi kepakaran mahupun dana yang diperlukan untuk menggerakkan segala aktiviti kemasyarakatan mahupun pembelajaran.

Teks: Wan Nur Suhailah Wan Draman (Pelajar Praktikal USIM) & Raziatul Ain Zamri (Pelajar Praktikal USM) Suntingan & Foto: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 139