Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

376 STAF B40 KAMPUS KESIHATAN TERIMA TABLET DI BAWAH INISIATIF STRATEGIK ‘TALENT MANAGEMENT AND STAFF WELLBEING’

4439cb3a ff4c 46e8 a1c9 c4e180635331

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 November 2021 – Peka dengan kebajikan serta keperluan staf kumpulan terkebawah B40, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah melancarkan Projek Inisiatif Strategik USM Tahun 2021: ‘Talent Management and Staff Wellbeing’.

Antara program yang dilaksanakan di bawah inisiatif tersebut adalah sumbangan bekalan susu UHT secara percuma dan sumbangan tablet (peranti pintar) bagi menyokong kaedah pembelajaran secara dalam talian.

5243034d 4eb2 4ef7 af57 b8f4c89cc2e2

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, Jabatan Pendaftar telah mengenalpasti 376 staf yang berpendapatan isi rumah kategori B40 dan mempunyai anak yang berusia antara tujuh (7) hingga 12 tahun untuk menerima sumbangan tablet bagi fasa satu (1), hari ini.

“Situasi pandemik COVID-19 banyak mengubah sesi pembelajaran masa kini kerana para pelajar terpaksa mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Keadaan ini pastinya menimbulkan kesulitan kepada pelajar yang tidak mempunyai peralatan atau gajet bagi tujuan tersebut. Memahami keadaan itu, insiatif penyampaian sumbangan tablet ini diharap dapat membantu melancarkan pembelajaran secara dalam talian terutamanya bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan,” ujarnya.

Shaiful turut berharap agar staf yang menerima sumbangan tablet ini mengoptimumkan penggunaan di samping memantau anak-anak mereka bagi mengelak penyalahgunaan untuk tujuan tidak berfaedah.

“Saya juga berharap agar tablet ini dapat membantu anak-anak staf menjadi seorang pelajar yang lebih cemerlang dan gunakanlah ia sebaik mungkin untuk mencari ilmu seiring dengan perkembangan teknologi yang terdapat di dalamnya,” jelasnya lagi.

35898f66 3517 432a 87f3 555a42d1082c

Sementara itu, Timbalan Pendaftar, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad, pula memberitahu, serahan tablet ini melibatkan 163 staf Kampus Kesihatan dan 213 orang staf Hospital USM.

“Jabatan Pendaftar selaku urusetia akan melaksanakan agihan tablet ini kepada penerima yang telah dikenalpasti dalam masa terdekat dan berharap agar ia dijaga dengan baik serta hanya digunakan untuk tujuan pembelajaran sahaja.

c5cecd1e 14a2 4c77 b8db 4e5adf10c4f6

“Agihan tablet ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan penerima dan memberi manfaat bukan sahaja kepada staf, tetapi juga kepada ahli keluarga mereka, khususnya anak-anak yang masih bersekolah," katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim, wakil Kesatuan Kakitangan Am (KKA) serta warga kerja Jabatan Pendaftar dan Hospital USM.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 155