4TH ICMHS: PLATFORM PERKONGSIAN ILMU DAN KEPAKARAN KESIHATAN SERANTAU
KOTA BHARU, KELANTAN, 24 September 2025 – ‘4th International Conference on Medical and Health Sciences’ (ICMHS) anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan platform pertukaran ilmu dan inspirasi, selain berfungsi sebagai medium pengukuhan kepakaran dan jaringan akademik yang melibatkan pakar tempatan serta antarabangsa dalam pelbagai bidang.

Bertemakan “Preparing for Future Challenges in Medicine, Dentistry and Health Sciences”, 4th ICMHS diadakan tepat pada masanya kerana mencerminkan keperluan mendesak untuk menghadapi cabaran kesihatan global melalui inovasi dan kolaborasi merentas disiplin.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, persidangan ini memperlihatkan perkongsian idea daripada dapatan penyelidikan terkini sehingga kepada amalan klinikal terbaik.
“Ia mencerminkan tekad bersama kita untuk menangani cabaran kesihatan yang kompleks pada masa kini dan masa hadapan.

“Sebagai universiti APEX, USM komited untuk terus menjulang pembangunan lestari, memacu penyelidikan berimpak tinggi serta melahirkan tenaga pakar dan profesional muda yang memberi khidmat bukan sahaja kepada negara, malah kepada manusia sejagat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup persidangan tersebut, hari ini.

Tambah Shaiful Bahari, penganjuran persidangan seperti ICMHS amat penting sebagai platform membina jaringan antarabangsa, berkongsi ilmu yang bermanfaat serta mencetuskan idea baharu bagi memperkukuh dasar dan amalan kesihatan demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat sejagat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penceramah jemputan, panel, peserta serta jawatankuasa penganjur yang telah bekerja keras bagi menjayakan persidangan kali ini.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan tenaga, kepakaran dan semangat bagi memastikan 4th ICMHS mencapai objektifnya.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih serta komitmen kolektif semua yang terlibat,” ujarnya lagi.

Menurut Shaiful Bahari, semangat kolaborasi dan inspirasi yang tercetus sepanjang persidangan perlu diterjemahkan kepada hasil penyelidikan, projek dan dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Dengan cara ini, kita bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan sains dan perubatan, malah turut membantu membina dunia yang lebih sihat, adil dan mampan,” jelasnya.
Persidangan yang diadakan bersempena dengan 'ASEAN Medical Schools Network' (ASEAN Research Collaborative Fund – ARCF) serta '25th National Conference on Medical and Health Sciences' (NCMHS) itu melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama tiga (3) hari bermula 22 hingga 24 September.

Terdahulu, Majlis Perasmian 4th ICMHS telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Pakar Perubatan Kesihatan Awam), Dr. Azlihanis Abdul Hadi mewakili Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 22 September lalu. Kehadiran wakil KKM ini menggambarkan sokongan padu kementerian terhadap usaha USM memperkukuh ekosistem akademia, penyelidikan dan dasar kesihatan negara.

Persidangan kali ini berjaya menghimpunkan hampir 300 peserta tempatan dan antarabangsa terdiri daripada pelajar prasiswazah, pascasiswazah, paramedik dan pengamal perubatan. Ia turut mengetengahkan sesi plenari, simposium pelbagai disiplin serta forum interaktif yang menjadi pemangkin kepada penyelidikan, kolaborasi baharu dan perkongsian kepakaran.


Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Dekan Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud; Timbalan Dekan USM-KLE PPSP USM, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi PPSP USM yang juga Pengerusi 4th ICMHS, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak dan Pengerusi Bersama 4th ICMHS, Profesor Dr. Liza Sharmini Ahmad Tajudin.
Teks: Siti Sri Mas Ismail / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 270