Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

'4TH IYCF SCIENTIFIC CONFERENCE 2025': PERKASA ILMU TINGKATKAN TAHAP KESIHATAN KANAK-KANAK

KOTA BHARU, KELANTAN, 4 September 2025 – ‘4th Infant And Young Child Feeding (IYCF) Scientific Conference 2025' anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), ‘World Alliance for Breastfeeding Action’ (WABA) dan Persatuan Sokongan Penyusuan Susu Ibu USM (KSSUSM) melabuhkan tirainya hari ini.

1000174308

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, persidangan dua (2) hari itu mampu menjadi salah satu platform perkongsian ilmu dan kepakaran bagi meningkatkan tahap kesihatan kanak-kanak.

1000174298

“Hasil daripada pembentangan kertas kerja dan dapatan kajian oleh para penceramah jemputan, panel jemputan dan pembentang diharap dapat memberikan impak yang besar kepada amalan klinikal, dasar kesihatan awam dan usaha pendidikan masyarakat.

“Saya juga berharap agar para pembentang akan lebih bersemangat untuk meneruskan penyelidikan pada masa hadapan dan kami mengalu - alukan penyertaan yang lebih meluas dalam persidangan IYCF kali ke-5 nanti,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup IYCF Scientific Conference 2025.

1000174306

Shaiful Bahari turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa yang menjayakan persidangan tersebut.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa penganjur iaitu USM, JKNK, WABA dan KSSUSM yang telah menjayakan persidangan ini termasuk penceramah jemputan, panel jemputan, pembentang kertas kerja serta para peserta dari dalam dan luar negara.

1000174300

“Tidak lupa juga penghargaan kepada Pengerusi WABA, Dato’ Seri Dr. Anwar Fazal yang telah bermurah hati menaja Anugerah Dr. Cicely Williams untuk pembentangan kertas kerja pada persidangan kali ini.

"Saya berharap agar usaha murni ini dapat diteruskan lagi pada persidangan akan datang,” ujarnya lagi.

Shaiful Bahari amat yakin bahawa jaringan kerjasama yang terjalin sepanjang persidangan ini sama ada dalam bidang perubatan, pemakanan, kejururawatan, penyelidikan atau penggubalan dasar dapat terus diperkukuh.

1000174304

“Semua peserta, bukan sekadar delegasi persidangan, tetapi juga wira dan wirawati kepada kesihatan serta kesejahteraan kanak-kanak di komuniti masing-masing.

"Semoga persidangan ini dapat membakar semangat kita semua untuk meneroka penyelesaian inovatif, menjalankan penyelidikan yang lebih berimpak dan berkongsi amalan terbaik merentasi sempadan dan institusi.

"Besar harapan saya agar segala ilmu, idea dan strategi yang diperoleh sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan kita semua akan terus menjadi agen perubahan dalam mempromosikan pemakanan dan pembangunan yang optimum bagi bayi dan kanak-kanak kecil,” jelasnya lagi.

1000174302

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Dr. Cicely Williams kepada Dr. Nurul Husna Mohd Shukri yang mendapat tempat pertama, tempat kedua dimenangi oleh Dr. Tiong Wen Ning dan tempat ketiga milik Dr. Deandra Sherly Anantya Fajri.

1000174296

1000174312

1000174310

Terdahulu, Majlis Perasmian Persidangan '4th IYCF Scientific Conference 2025’ telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr. Zaini Hussin.

Persidangan IYCF kali ke-4 ini berjaya mengumpulkan hampir 250 orang peserta, 17 orang penceramah yang berkongsi kepakaran masing-masing dan 16 orang pembentang kertas kerja.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 392