USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 April 2021 – Seramai 500 orang pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sumbangan keperluan harian daripada Yayasan UEM menerusi Projek Prihatin Pesakit 2021 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM125,000.
Sumbangan keperluan harian itu disalurkan bagi membantu meringankan beban para pesakit dan keluarga terutamanya menjelang bulan Ramadan.
Menurut Pengarah Projek Prihatin Pesakit 2021: Kerjasama Hospital USM dan Yayasan UEM yang juga Penyelaras Unit Pembangunan Korporat Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, Unit Kebajikan Perubatan telah mengenalpasti pesakit Hospital USM yang terdiri daripada asnaf dalam kalangan B40 untuk menerima sumbangan ini.
“Ini merupakan tahun ketiga Yayasan UEM menyalurkan sumbangan kepada USM melalui program ‘Corporate Sosial Responsibility’ (CSR) untuk membantu program-program kebajikan Hospital USM.
“Pada tahun ini Hospital USM amat bernasib baik kerana sekali lagi terpilih untuk menjalankan projek prihatin di bawah Yayasan UEM yang memberi faedah kepada 500 pesakit berdaftar di sini,” ujarnya.
Tambah Abdul Rahman, sumbangan barangan keperluan harian bernilai RM250 seorang itu diharap dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk menjalani ibadah puasa.
Abdul Rahman turut berharap agar Yayasan UEM akan terus membantu Hospital USM dalam memastikan nasib golongan terkebawah sentiasa terbela dan mendapat bantuan sewajarnya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman