Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

621 PELAJAR BAHARU MENDAFTAR DI KAMPUS KESIHATAN USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 September 2026 – Seramai 621 orang pelajar baharu mendaftar di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sidang akademik 2026/2027, hari ini.

Daripada jumlah tersebut seramai 185 orang pelajar akan mengikuti pegajian di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), 54 orang pelajar di Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan 382 orang pelajar di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyifatkan pelajar yang berjaya mendaftarkan diri di Kampus Kesihatan USM hari ini merupakan pelajar yang terbilang dan hebat.

“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang berjaya menjejakkan kaki ke USM, anda semua adalah yang terbaik di antara yang terbaik.

“Pendaftaran hari ini menandakan cabaran baru bermula, kalau dulu ibu bapa berusaha memastikan anak-anak berjaya masuk ke USM, tetapi kini, ibu bapa perlu berusaha memastikan anak-anak berjaya mencapai impian mereka di sini," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis bersama Ibu Bapa Pelajar Baharu di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM.

Tambah beliau, keutamaan USM adalah mengambil pelajar-pelajar yang memohon melalui saluran permohonan rasmi iaitu melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

“Daripada jumlah 621 orang pelajar, hanya seramai 25 pelajar antarabangsa yang mendaftar di kampus ini dan saya ingin tekankan kuota antarabangsa ini tidak sesekali mengambil tempat anak-anak kita.

Menurut Abdul Rahman, USM juga turut melaksanakan Program Pembangunan Siswa SULUNG (SULUNG) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membantu keluarga dalam kalangan B40.

“Bagi pelajar B40 dan merupakan anak pertama yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti bagi program ijazah, mereka layak mendapat pembiayaan daripada USM dari segi bantuan bayaran yuran pengajian.

"Yuran mereka sepanjang pengajian akan ditanggung sepenuhnya oleh USM.

“Jadi ibu bapa tidak perlu risau tentang yuran pengajian dan apa yang penting ialah memastikan para pelajar fokus kepada pembelajaran sahaja tanpa perlu memikirkan perkara lain," terangnya lagi.

Abdul Rahman turut berpesan agar para pelajar yang mempunyai masalah sepanjang pengajian, hendaklah memaklumkan kepada pusat pengajian atau pengurusan universiti untuk USM bantu.

Pendaftaran pelajar hari ini berlangsung di dua (2) desasiswa iaitu Desasiswa Murni dan Desasiswa Nurani.

Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PPSK USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah dan Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa) PPSG USM, Dr. Fadzlinda Baharin.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 136