74 PEGAWAI P&P PELBAGAI SKIM TERIMA SURAT LANTIKAN PEMANGKUAN JAWATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Mei 2025 – Seramai 74 pegawai pelbagai skim perkhidmatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menerima surat pelantikan pemangkuan jawatan kenaikan pangkat, hari ini.
Penyampaian surat pemangkuan jawatan tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam Majlis Perjumpaan Bersama Pengarah Kampus sempena pelaksanaan Eksesais Kenaikan Pangkat Secara ‘One-off’ yang berlangsung di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus Kesihatan USM.
Shaiful Bahari dalam ucapannya menyatakan inisiatif ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan kerajaan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan penjawat awam di negara ini.
“USM menyambut baik inisiatif ini serta komited untuk melaksanakannya secara telus dan adil berdasarkan kriteria yang ditetapkan pihak kerajaan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pemangkuan ini bukan sekadar bentuk ganjaran, tetapi menggalas tanggungjawab besar untuk menjadi peneraju perubahan, pembimbing rakan sekerja serta menjadi contoh dalam budaya kerja cemerlang.
“Universiti meletakkan harapan yang tinggi agar pemangkuan ini menyuntik semangat baharu dan menjadi pemangkin motivasi untuk meningkatkan prestasi kerja serta menyumbang kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan universiti,” tambahnya.
Dalam penutup ucapannya, Shaiful Bahari merakamkan ucapan tahniah kepada semua pegawai yang terlibat dan menyeru agar menggunakan peluang ini sebaiknya untuk melonjakkan prestasi diri dan organisasi ke tahap yang lebih tinggi.
Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad, wakil Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran (PKAPUSM), Profesor Madya Dr. Rohana Abd. Jalil dan Erie Zuraidee Zulkifli serta Ketua-ketua Jabatan Kampus Kesihatan USM.
Teks: Amyrulhan Azhari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 439