Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

9 KES POSITIF COVID-19 DIKESAN DALAM WAD BERPUNCA DARIPADA PENEMAN PESAKIT

 

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Julai 2021 – “Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) pernah mengesan sembilan (9) kes positif COVID-19 dalam sebuah wad di hospital ini dipercayai berpunca dari virus bawaan seorang peneman pesakit yang datang dari satu kawasan kluster COVID-19,” demikan kata Penyelaras Bilik Gerakan COVID-19 Kampus Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad.

fab56204 9baa 4c8a b393 73b5a3b6cbe3

Menurutnya, kluster ini yang dinamakan atas sebuah kampung di Kelantan telah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula pada 16 Mac lalu melibatkan 17 kes positif COVID-19 di mana lebih separuh daripada jumlah itu dikesan dalam kalangan peneman serta pesakit Hospital USM.

“Hasil daripada siasatan kontak yang dijalankan, penyebaran virus dipercayai bermula daripada salah seorang peneman pesakit bernama Zawiah (bukan nama sebenar) yang pada asalnya tidak menunjukkan sebarang gejala COVID-19 semasa disaring, namun kemudiannya telah menunjukkan beberapa gejala COVID-19 semasa berada di wad dan telah disenaraikan sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19 kluster berkenaan.

“Ujian calitan (swab test) yang dilakukan ke atas Zawiah oleh pihak KKM setelah beliau pulang menunjukkan keputusan positif COVID-19 dan rentetan itu, pihak Hospital USM terpaksa membuat ujian calitan kepada pesakit (Ahmad) yang ditemani Zawiah sepanjang berada di wad dan keputusan ujian calitan Ahmad juga disahkan positif,” ujarnya ketika ditemubual.

2d270814 6951 4488 9886 2ccc918dcb7c

Tambah Zahiruddin, sepanjang menemani Ahmad menerima rawatan di wad, Zawiah serta beberapa orang peneman kepada pesakit-pesakit lain di kubikel dan wad yang sama dipercayai tidak mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pengurusan Hospital USM.

“Siasatan lanjut kes tersebut, Zawiah didapati berbual dengan peneman lain di bilik solat selepas selesai menunaikan solat, berbual di ruang makan, tidak memakai pelitup muka sepanjang masa dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta daripada situlah penyebaran virus berlaku.

“Penularan tersebut telah mengakibatkan jangkitan COVID-19 kepada enam (6) peneman dan tiga (3) pesakit dalam wad berkenaan,” jelasnya lagi.

2d67b301 b007 4946 992e bf5766eb43eb

Zahiruddin yang juga Pakar Kesihatan Awam berkata, insiden sebegini seharusnya dapat dielakkan agar ia tidak mengganggu proses perawatan pesakit di samping menjaga keselamatan warga kerja terutamanya petugas kesihatan barisan hadapan yang telah bergelut menangani pandemik ini sejak setahun lalu.

“Saya juga memohon semua peneman yang ingin menjadi peneman pesakit Hospital USM jujur semasa mengisi ‘Borang Deklarasi Risiko COVID-19’ kerana kejujuran anda membantu mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain yang turut berada di fasiliti perawatan pesakit Hospital USM.

“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana kemungkinan Zawiah tidak mengisytiharkan salah satu risiko COVID-19 iaitu menyertai sebuah majlis keramaian (solat hajat) sebelum datang ke hospital untuk menemani pesakit. Di majlis inilah, salah seorang ahli keluarga beliau disahkan sebagai kes indeks COVID-19 kluster berkenaan,” ulas beliau lanjut.

4f6d2596 42cb 498e 9b99 b0eebfe88f8f

Jelas Zahiruddin lagi, sikap dan tahap kesedaran orang ramai amat penting dalam membantu mengelak berlaku transmisi sebaran virus serta kepatuhan peneman terhadap SOP yang telah ditetapkan selain melepasi saringan risiko yang ditetapkan.

“Pematuhan SOP yang sepenuhnya seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’ sangat membantu mengurangkan penularan jangkitan dalam kawasan persekitaran kerja, komuniti, di tempat awam dan lain-lain,” katanya.

Zahiruddin turut menyarankan agar semua pihak memainkan peranan membantu kerajaan melandaikan lekuk kes kenaikan harian dengan bersikap jujur setiap kali mengisi deklarasi risiko serta bertanggungjawab terhadap sebarang risiko jangkitan yang bakal berlaku atas ketidakjujuran mereka.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Hits: 115