Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

AGNIRA - SIMFONI API CINTA DAN KESAKSAMAAN MEMBARA DI PENTAS KESENIAN MKI

USM, KUBANG KERIAN, 3 Mei 2025 – Malam Kebudayaan India (MKI) 2025 merupakan medium terbaik untuk mencungkil bakat seni dan kepimpinan dalam kalangan pelajar Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di samping memperkukuh semangat perpaduan antara kaum dalam suasana penuh harmoni.

1000134102

MKI tahun ini disambut dengan penuh meriah melalui pelbagai persembahan yang menarik termasuk tarian, nyanyian, komedi dan drama bertemakan ‘Agnira - Flames of Love and Equality'. Tema ini menggambarkan semangat cinta yang membara, ibarat api yang menyatukan manusia melalui kepelbagaian kebudayaan masyarakat India.

1000134086

Acara tahunan anjuran Persatuan Kebudayaan India ini berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM bertujuan untuk memperkenal serta memartabatkan seni dan budaya kaum India kepada seluruh warga kampus.

1000134088

Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, MKI bukan sekadar persembahan menarik dan kreatif tetapi juga membawa mesej yang lebih besar.

1000134104

“Persembahan kebudayaan seperti ini bukan sekadar hiburan tetapi menjadi platform yang berkesan untuk memupuk rasa hormat, memahami kepelbagaian dan mengukuhkan jalinan persefahaman antara pelajar berbilang kaum melalui apresiasi seni dan budaya,” katanya ketika berucap merasmikan MKI 2025, semalam.

1000134094

Shaharum turut berbangga dan memuji barisan jawatankuasa penganjur kerana berjaya melaksanakan acara tahunan ini dengan jayanya.

1000134106

“Saya amat gembira melihat semua yang hadir pada malam ini menikmati suasana yang penuh harmoni.

1000134090

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas perancangan yang teliti dan dedikasi dalam memastikan sambutan malam ini benar-benar menyerlahkan keindahan serta keanggunan kebudayaan masyarakat India.

1000134096

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada tetamu dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), USM Kampus Induk serta para pelajar pertukaran dari universiti di India yang sudi hadir dan memberikan sokongan padu terhadap program ini,” ujarnya.

1000134110

Sementara itu, salah seorang penonton yang ditemui, Dr. Shahidatul Adha Mohamad menyatakan keterujaan dan rasa terhiburnya terhadap persembahan yang ditonjolkan dalam MKI 2025.

1000134098

"Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, saya sentiasa menyokong usaha dan inisiatif para pelajar USM dalam menganjurkan program-program yang membina serta memperkayakan nilai kebudayaan dan kesenian.

1000134100

"Persembahan yang dipentaskan begitu bertenaga dan menghiburkan, malah berjaya menyerlahkan keindahan serta keunikan budaya masyarakat India yang dikongsi kepada semua penonton yang hadir pada malam ini," ujar beliau.

1000134112

Kira-kira 1,000 orang hadir menyaksikan MKI 2025 yang disambut dengan penuh gilang-gemilang, diserikan dengan pancaran cahaya lampu dan hiasan berwarna-warni yang begitu sinonim dengan kemeriahan budaya masyarakat India.

1000134092

1000134114

Turut hadir ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pensyarah Bioperubatan mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Dr. Wong Weng Kin; Penasihat Persatuan Kebudayaan India, Profesor Madya Dr. T.P. Kannan dan Pengarah Program MKI 2025, Sutharsheeni Sachitharan.

Teks: Marlina Zahari/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 215