Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

ALANG-ALANG JADI JURURAWAT, BIAR JADI JURURAWAT HEBAT!

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Mei 2026 – “Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang menjadi jururawat, biarlah menjadi jururawat yang hebat serta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat”, demikian ungkapan bersahaja tetapi sarat dengan harapan oleh Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani ketika merasmikan Sambutan Hari Jururawat 2026, hari ini.

1000260326

Beliau berkata, profesion jururawat merupakan satu tugasan yang amat mulia dan setiap individu yang memilih kerjaya tersebut perlu berbangga dengan amanah yang dipikul.

1000260318

“Jangan malu dengan tugas kita sebagai jururawat. Jika ditanya tentang pekerjaan kita, jawablah dengan penuh bangga kerana bukan semua orang mampu melaksanakan tugas menjaga pesakit dengan penuh kasih sayang dan dedikasi seperti yang dilakukan oleh jururawat,” ujarnya.

1000260310

Ab Rahman Izaini berkata, kerjaya jururawat bukan sekadar menjaga pesakit, malah memerlukan pengorbanan jiwa dan raga demi memastikan kesejahteraan serta keselesaan mereka yang memerlukan rawatan.

“Sekiranya kita beriltizam untuk memberikan yang terbaik dan benar-benar bangga dengan kerjaya ini, maka kita bukan sahaja mampu memberi rawatan berkualiti, malah menjadi tonggak utama dalam sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya lagi.

1000260312

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan warga kejururawatan agar terus mengekalkan semangat kerja berpasukan, saling menyokong dan mengelakkan unsur-unsur negatif yang boleh menjejaskan keharmonian tempat kerja.

“Kita perlu kekalkan semangat setia kawan dan jangan berpecah-belah. Mungkin kami di pihak pengurusan atasan, tidak menjanjikan sesuatu yang mewah atau kayangan, namun semua jururawat perlu sentiasa berusaha melakukan yang terbaik supaya segala urusan dan perkhidmatan kesihatan dapat dipermudahkan.

1000260314

“Jagalah tempat kerja kita bersama-sama dan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan sedia ada.

“Sambutan Hari Jururawat tahun ini yang bertemakan ‘Empowered Nurses Save Lives’ bukan sekadar slogan semata-mata, tetapi merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu diterjemahkan melalui tindakan, komitmen serta budaya kerja cemerlang oleh seluruh warga hospital dalam memastikan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan sepanjang proses rawatan,” jelasnya.

1000260320

Ab Rahman Izaini turut menjelaskan bahawa HPUSM telah menyediakan asas yang kukuh selari dengan kehendak World Health Organization (WHO) yang memberi penekanan terhadap pembangunan kompetensi staf, pengukuhan budaya keselamatan pesakit serta peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan secara berterusan.

Menurutnya, sejak tahun 2019, pelbagai inisiatif berkaitan keselamatan pesakit, keselamatan kakitangan dan keselamatan persekitaran telah diperkasakan secara konsisten.

1000260324

“Pematuhan terhadap aspek keselamatan pesakit dalam setiap proses perkhidmatan bukan sahaja mampu mengurangkan risiko rawatan serta tempoh kemasukan pesakit di hospital, malah turut meningkatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap HPUSM sebagai institusi perubatan yang berkualiti dan dipercayai.

“Di samping itu, sepanjang tahun 2025 hingga Mei 2026, perkhidmatan kejururawatan HPUSM turut memperlihatkan tahap profesionalisme, komitmen dan kualiti penjagaan yang membanggakan apabila menerima sebanyak 28 pujian daripada pelanggan.

1000260322

“Pengiktirafan tersebut meliputi pelbagai aspek termasuk layanan mesra, komunikasi yang berkesan, tindakan yang pantas, empati terhadap pesakit dan waris serta kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan sekali gus mencerminkan dedikasi tinggi warga kejururawatan dalam memastikan kepuasan pelanggan serta penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti selaras dengan budaya kerja cemerlang organisasi,” jelasnya.

Ab Rahman Izaini juga percaya kecemerlangan profesion kejururawatan akan terus menjadi pemangkin kepada transformasi sistem kesihatan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.

“Dengan semangat kebersamaan, iltizam yang tinggi serta sokongan berterusan daripada pihak pengurusan, saya yakin warga kejururawatan HPUSM akan terus melakar pelbagai kejayaan dan menjadi contoh terbaik kepada institusi kesihatan lain di negara ini.

1000260316

“Semoga seluruh jururawat HPUSM terus cemerlang, berdaya saing, dihormati dan menjadi tonggak utama dalam memperkasakan profesion kejururawatan pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail dan Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 357