AMALAN MENCUCI TANGAN LANGKAH TERBAIK ELAK JANGKITAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Mei 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) hari ini meraikan Hari Pencucian Tangan Sedunia 2025 atau lebih dikenali sebagai ‘World Hand Hygiene Day’ dengan menekankan amalan kebersihan tangan sebagai langkah utama mencegah penularan jangkitan dalam kalangan pesakit dan kakitangan kesihatan.
Bertemakan ‘It Might Be Gloves, It’s Always Hand Hygiene’, sambutan tahun ini memberi fokus kepada pentingnya meneruskan amalan mencuci tangan walaupun ketika memakai sarung tangan. Mesej penting ini disampaikan bagi mengingatkan bahawa pemakaian sarung tangan bukanlah pengganti kepada pencucian tangan yang betul dan konsisten.
Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud berkata, sebagai hospital pakar yang komited menyediakan rawatan terbaik, keselamatan dan kesejahteraan pesakit sentiasa menjadi keutamaan.
“Amalan mencuci tangan dilihat sebagai langkah asas, namun amat efektif bagi mencegah jangkitan khususnya dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.
“Pencucian tangan yang betul bukan sahaja mengurangkan risiko jangkitan kuman dan virus, malah merupakan langkah pencegahan yang paling mudah dan kos yang rendah serta wajar diamalkan oleh semua pihak termasuk kakitangan kesihatan, pelawat dan pesakit,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program tersebut.
Menurut beliau, bagi memastikan pematuhan menyeluruh, HPUSM turut melaksanakan Protokol Pencucian Tangan dengan menyediakan kemudahan seperti pencuci tangan berasaskan alkohol, air dan sabun yang mencukupi di semua ruang klinikal, wad, bilik rawatan dan kawasan awam hospital.
“Kakitangan hospital turut didedahkan dengan konsep ‘5 Moments for Hand Hygiene’, iaitu lima waktu kritikal untuk mencuci tangan sebagai langkah penting mencegah jangkitan silang.
“HPUSM turut melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan dan kempen kesedaran termasuk penyediaan poster maklumat, sesi taklimat kepada pesakit dan pelawat serta penggunaan media sosial sebagai saluran untuk menyampaikan mesej kesihatan awam berkaitan kebersihan tangan,” ujarnya lagi.
Tambah Mohamed Ashraf, pencucian tangan bukanlah tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya merupakan usaha kolektif yang memerlukan penyertaan semua pihak terutama daripada pengurusan hospital sehinggalah kepada pesakit dan pelawat.
“Budaya kebersihan hanya dapat diterapkan secara berkesan melalui kerjasama yang menyeluruh.
“Saya menyeru orang ramai untuk terus mengamalkan kebersihan tangan dan menyebarkan kesedaran ini dalam kalangan keluarga serta komuniti.
“Sesungguhnya, setiap titisan air yang mengalir di tangan boleh menjadi langkah menyelamatkan nyawa,” jelasnya.
Sambutan Hari Pencucian Tangan Sedunia 2025 Peringkat HPUSM ini turut diserikan dengan aktiviti seperti senamrobik, ceramah ‘Hand Hygiene’, Pelancaran Buku ‘Guideline Chemo Port’ dan penyampaian sijil pengiktirafan ‘Hand Hygiene’.
Turut hadir ialah Ketua Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Mayda Dr. Maya Mazuwin Yahya; Ketua Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad; Pakar Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan PPSP USM, Profesor Madya Dr. Alwi Muhd Besari; Pensyarah Perubatan, Jabatan Radiologi PPSP USM, Dr. Nasibah Mohamad dan Ketua Unit Kawalan Jangkitan Epidemiologi Hospital (UKJEH) HPUSM merangkap Pengarah Program ‘World Hand Hygiene Day’, Profesor Madya Dr. Siti Suraiya Md Noor.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 117