Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

ANESTESIA ATAU PEMBIUSAN BANTU PESAKIT JALANI PROSEDUR PEMBEDAHAN DENGAN SELAMAT

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Oktober 2021 – Anestesia atau lebih dikenali sebagai pembiusan berasal dari bahasa Yunani bermaksud suatu tindakan yang menghilangkan rasa sakit ketika melakukan pembedahan dan pelbagai prosedur lain yang menyebabkan kesakitan pada tubuh.

Anestesia atau bius digunakan hampir dalam semua bidang kesihatan terutamanya apabila pembedahan perlu dilakukan dan kepakaran pembiusan merangkumi soal pembiusan serta penjagaan keselamatan pesakit sebelum, semasa dan selepas pembedahan.

SAVE 20211024 222004

Menurut Pakar Bius, Jabatan Anestesiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Dr. Sanihah Che Omar, umum mengetahui pembiusan adalah proses paling penting sebelum prosedur pembedahan dilakukan ke atas pesakit bertujuan untuk menghentikan isyarat saraf supaya pesakit tidak rasa sakit ketika pembedahan dilakukan.

“Setiap individu yang pernah menjalani pembedahan sering kali merasakan kejayaan sesuatu pembedahan adalah dengan sokongan dan kehebatan sepasukan pakar bedah. Namun, kita tidak sedar bahawa dalam kumpulan ini terdapat pakar bius atau 'anestesiologist' yang kehadirannya sering dilupakan sedangkan peranan mereka sama penting dengan pakar bedah.

“Khidmat pakar bius diperlukan untuk sesuatu pembedahan kecil atau besar bagi memberikan keselesaan kepada pesakit tanpa merasai kesakitan pembedahan yang dijalankan ke atas mereka. Pakar bius perlu bekerjasama dengan pakar bedah bagi memastikan pembedahan berjalan lancar selain berperanan menentukan kejayaan dalam setiap prosedur pembedahan kerana dalam apa juga pembedahan sama ada kecil atau besar, ia memerlukan pembiusan yang hanya dilakukan pakar bius berpengalaman,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah sempena Sambutan Hari Anestesia Sedunia, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, USM hari ini.

SAVE 20211024 221949

Sanihah yang juga Pensyarah Perubatan berkata, peranan dan tanggungjawab doktor bius atau 'anestesiologist' adalah memastikan pesakit dalam keadaan stabil semasa menjalani pembedahan, tidak berasa sakit dan selamat semasa mahupun selepas pembedahan. 

“Ada beberapa prosedur yang perlu dilakukan sebelum pembedahan dijalankan. Sehari sebelum dibedah, pakar bius akan melawat pesakit bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat.

“Perjumpaan dengan pakar bius sebelum pembedahan amat penting kerana setiap pesakit akan diperiksa dengan teliti untuk memastikan tiada masalah yang boleh membahayakan nyawa mereka ketika pembedahan,” jelasnya lagi.

SAVE 20211024 222020

Tambah Sanihah, selain pemantauan dalam bilik bedah, pemantauan dan penjagaan pesakit di Unit Rawatan Rapi turut menjadi tanggungjawab pakar bius untuk menjaga pesakit-pesakit kritikal pada setiap masa.

“Selain itu, pakar bius juga berperanan dalam perkhidmatan rawatan kesakitan akut yang dialami selepas pembedahan sehingga 48 jam.

“Terdapat empat jenis pembiusan utama iaitu bius setempat, bius separuh, epidural dan bius penuh yang setiap satunya mempunyai fungsi tersendiri, dilakukan dalam cara dan penggunaan ubat-ubatan berbeza,” ulasnya lanjut.

Sambutan Hari Anestesia Sedunia disambut pada 16 Oktober setiap tahun bagi meraikan warga perubatan yang terlibat dengan pembiusan selain memperingati peristiwa pertama kali kejayaan pembiusan menggunakan 'diethyl ether' pada 16 Oktober 1846 iaitu kira-kira 175 tahun yang lalu.

Turut berkongsi ilmu dalam program tersebut ialah Pensyarah Perubatan yang juga Pakar Bius, PPSP, Dr. Kamaruddin Ibrahim yang menyampaikan ceramah bertajuk 'Kanser dan Ancaman Kesakitan'.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 613