Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

ANTARA ALAM DAN BAYANG - ANGKAT KEKAYAAN SENI DAN BUDAYA BORNEO DI USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Jun 2026 – "Keunikan budaya masyarakat Borneo yang dipersembahkan dalam 'Borneo Cultural Night' (BCN) 2026 bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan negara, malah menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan dan perpaduan warga kampus melalui penghayatan seni dan budaya yang berteraskan nilai serta identiti masyarakat," demikian petikan ucapan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail ketika merasmikan BCN 2026, semalam.

1000267891

Menurutnya, seni dan budaya akan terus menjadi pemangkin dalam memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti melalui kerjasama strategik yang terjalin menerusi penganjuran program ini.

"Selaras dengan nilai keterangkuman dan kepelbagaian yang dijunjung, USM komited menyokong usaha memperkukuh kefahaman antara budaya dalam kalangan warga kampus.

1000267871

“Kekayaan budaya Sabah dan Sarawak yang merangkumi pelbagai etnik, adat resam dan warisan tradisional merupakan khazanah berharga yang perlu terus dipelihara.

“Generasi muda hari ini memikul tanggungjawab besar untuk memastikan warisan tersebut tidak luput ditelan arus pemodenan dan globalisasi,” ujarnya.

1000267875

Tambah beliau, BCN merupakan antara program kebudayaan berprestij yang dianjurkan secara konsisten setiap tahun sebagai manifestasi komitmen universiti dalam melahirkan graduan holistik yang cemerlang dalam akademik, berjiwa kepimpinan serta menghargai kepelbagaian budaya.

"Kelangsungan BCN sehingga edisi ke-13 mencerminkan iltizam mahasiswa dalam memperkasa serta mengekalkan kelestarian warisan budaya Borneo.

1000267879

"Saya dimaklumkan bahawa BCN pada tahun ini melibatkan lebih 100 mahasiswa serta menerima kehadiran kira-kira 700 tetamu sekali gus membuktikan bahawa program berteraskan seni dan budaya terus mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan warga kampus," katanya lagi.

1000267869

BCN 2026 yang berlangsung meriah di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM berjaya direalisasikan hasil komitmen, dedikasi dan usaha berterusan Sekretariat Bayu Kenyalang Kampus Kesihatan selaku penganjur utama program tersebut.

1000267873

Shaiful Bahari turut melahirkan rasa bangga menyaksikan BCN terus berkembang sebagai platform yang menggabungkan warisan tradisional dengan elemen seni yang kreatif dan kontemporari.

1000267877

“Bertemakan ‘Antara Alam dan Bayang’, BCN 2026 mengetengahkan keunikan hubungan masyarakat Borneo dengan alam, tradisi dan nilai budaya yang diwarisi turun-temurun.

1000267881

“Saya percaya setiap persembahan yang dipentaskan bukan sekadar hiburan, sebaliknya mencerminkan kreativiti, semangat kerjasama dan penghargaan mahasiswa terhadap warisan budaya.

1000267883

“Program ini turut menjadi medium yang memupuk keharmonian dan perpaduan menerusi pemahaman serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya,” jelasnya.

1000267885

Shaiful Bahari turut berharap agar BCN akan terus diperkasa sebagai platform untuk memelihara warisan budaya, memperkukuh perpaduan serta membangunkan potensi mahasiswa yang menghargai identiti dan nilai kebangsaan.

1000267889

Selain persembahan kebudayaan, penonton turut terpukau dengan pementasan teater yang membawa mereka menyusuri sebuah perjalanan mistik antara dunia nyata dan alam ghaib menerusi penceritaan yang penuh dramatik.

1000267887

Turut hadir ialah Penasihat Sekretariat Bayu Kenyalang 2025/2026, Dr. David Joseph Pereira; Penasihat Kelab Seni Kebudayaan Dunia Sarjana, Universiti Teknologi MARA cawangan Machang, Emma Farihan Zakaria dan Pengarah Program BCN 2026: Antara Alam dan Bayang, Isaac Isaiah R Munang.

Teks: Marlina Zahari/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 403