KOTA BHARU, KELANTAN, 28 Januari 2023 – Majlis Anugerah Sanjungan Desasiswa telah berlangsung di Hotel H Elite bagi meraikan dan menghargai jasa serta sumbangan pelajar-pelajar dan barisan pengurusan desasiswa yang bergiat aktif dalam Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), Universiti Sains Malaysia (USM).

Majlis penyampaian anugerah anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani dengan kerjasama Majlis Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa USM dan Majlis Penggawa USM ini mempertandingkan tiga (3) kategori utama iaitu Anugerah Desasiswa, Anugerah Projek Terbaik dan Anugerah Perdana.


Bagi Anugerah Desasiswa, tiga kategori anugerah disediakan iaitu ‘Majlis Tertinggi Terbaik’, ‘Exco Terbaik’ dan ‘Penolong Exco Terbaik’. Anugerah ini diberikan kepada penerima daripada semua desasiswa iaitu Desasiswa Aman Damai, Bakti Fajar Permai PETAS, Cahaya Gemilang Harapan, Indah Kembara, Restu, Saujana dan Tekun dari Kampus Induk, Desasiswa Jaya Lembaran Utama dari Kampus Kejuruteraan dan Desasiswa Murni Nurani dari Kampus Kesihatan.

Bagi kategori Anugerah Projek Terbaik, Desasiswa Jaya Lembaran Utama (JLU) dari Kampus Kejuruteraan mendahului desasiswa lain apabila menerima dua (2) anugerah daripada sembilan (9) kategori yang dipertandingkan iaitu Projek Terbaik Kebudayaan, ‘Musical Art Competition’ serta Projek Terbaik Sukan dan Rekreasi menerusi ‘Kejut E-Sport’. Lain-lain penerima bagi kategori Projek Terbaik ialah Projek Terbaik Keusahawanan, ‘Strengthen The Empire 2.0/Step@Saujana 2.0’, Desasiswa Saujana; Projek Terbaik Kesukarelawanan/Alam Sekitar, ‘Life Below Water: ‘’The Power Of Youth Taking Action’, Desasiswa Restu; Projek Terbaik Kesukarelawanan -Kesejahteraan Komuniti, ‘Of Faith & Love: Excel & Elevate’ (Ofal), Desasiswa Tekun; Projek Terbaik Kesukarelawanan (Kemanusiaan), Derma Darah 4.0: ‘Donate Blood Save Life’, Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan; Projek Terbaik Wacana Intelek. International Webinar: “Are We Okay? Mental State Of Students During The Pandemic”, Desasiswa Murni Nurani; Projek Terbaik Pengucapan Awam, Forum Politik “Undi – 18: Cabaran Dan Cadangan”, Desasiswa Restu dan Projek Terbaik Sepunya, Festival Musabaqah Al-Quran 2022, Desasiswa Aman Damai.
Bagi dua (2) anugerah utama iaitu Anugerah Perdana menyaksikan Desasiswa Restu dinobatkan sebagai Desasiswa Terbaik manakala Tan Aik Sian, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Sains (Kimia) dari Desasiswa Bakti Fajar Permai PETAS dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Desasiswa kerana menepati kriteria HEBAT serta cemerlang daripada pelbagai aspek merangkumi kepimpinan, pengurusan organisasi, keterlibatan program serta pencapaian akademik.

Pemilihan calon penerima anugerah-anugerah ini adalah berdasarkan pelaksanaan program-program secara keseluruhan yang dinilai dan disemak di peringkat pengurusan universiti untuk melihat keberhasilan serta mencapai matlamat program.
Majlis ini juga turut menghargai sumbangan kakitangan universiti yang dilantik sebagai penggawa serta penolong penggawa menerusi Anugerah Khas Penggawa dan Anugerah Penolong Penggawa Cemerlang dari setiap desasiswa.

Majlis penyampaian anugerah diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Azlinda Azman. Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria; Pengarah Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi Majlis Penggawa Sidang Akademik 2022/2023, Zulkifli Che Hussin; Pengarah Pusat Pembangunan HEBAT, Hazlan Abdul Hamid serta barisan penggawa dan penolong penggawa.
Teks: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman