ASYURA PLATFORM KUKUHKAN MUAFAKAT DALAM KALANGAN STAF DAN KOMUNITI SETEMPAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Ogos 2024 - Aktiviti memasak bubur asyura untuk diagih kepada kaum keluarga, fakir miskin dan masyarakat setempat telah menjadi adat dan tradisi masyarakat Islam di Malaysia.
Menyedari hal tersebut, Pusat Islam Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) tidak ketinggalan menganjurkan Program Memasak dan Agihan Bubur Asyura Peringkat Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, memasak asyura dan mengagihkannya adalah antara salah satu tradisi yang baik kerana bukan sahaja mencerminkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, tetapi juga sebagai satu cara menyegarkan hubungan silaturrahim dan kasih sayang antara kita.
“Asyura yang kita hasilkan bersama ini melambangkan pelbagai elemen yang dicampurkan menjadi satu, sepertimana masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang bersatu dalam satu tujuan yang murni.
“Semangat kerjasama dan ukhuwah dalam merancang serta melaksanakan program seperti ini diharap dapat diterjemahkan oleh warga kampus sewaktu menjalankan tugas dan tanggungjawab hakiki,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Perkarangan Masjid Mukim Kampus Kesihatan, hari ini.
Tambah beliau, bulan Muharam adalah tanda meraikan sejarah Maal Hijrah Rasulullah SAW yang dicintai.
“Ia bukan sahaja menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Hijrah, tetapi ianya diharap menjadi batu loncatan untuk kita mengubah diri menjadi manusia yang lebih baik serta menjadi pekerja yang lebih cemerlang duniawi dan ukhrawi.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan penaja iaitu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) serta semua pihak yang telah berusaha keras dalam menjayakan program ini, daripada mereka yang merancang dan menyusun atur cara hingga kepada yang hadir hari ini untuk membantu dalam penyediaan dan pengagihan asyura,” ujarnya lagi.
Program berkenaan turut diisi dengan pertandingan memasak asyura paling sedap dan telah berjaya menarik 12 kumpulan untuk menyertainya terdiri dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Hospital USM, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Unit Kejururawatan/ Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Hospital USM, Pejabat Pengarah Kampus/Jabatan Bendahari, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi, Koperasi Warga Staf USM Kelantan Berhad, Persatuan Sains Makmal Perubatan, Kelab Jasa Budi serta Warga Kariah Masjid Mukim Kampus Kesihatan.
Pasukan Hospital USM mengungguli pertandingan di tempat pertama, manakala Kelab Jasa Budi berada di tempat kedua dan Pejabat Pengarah Kampus/ Jabatan Bendahari mendapat tempat ketiga.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Operasi, Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, Timbalan Pengarah, Pusat Islam, Kampus Kesihatan USM, Amira Abdul Sattar @ Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed; Penolong Pengurus Pemasaran PMBK, Yusri Yaakub; Penolong Pengurus Komunikasi Korporat PMBK, Abdul Fatah Jaafar; Ketua-ketua jabatan serta warga Kampus Kesihatan termasuk staf dan pelajar.
Teks: Amyrulhan Azhari/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 421