Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BAKUL MAKANAN RINGANKAN BEBAN GOLONGAN TERKESAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Ogos 2021 – “Pengagihan bakul makanan yang disediakan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan Staf (KESUKAS) Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19”, kata Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

SAVE 20210819 160043

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM itu berkata, inisiatif tersebut juga memberi tumpuan kepada kebajikan semua ahli berdaftar KESUKAS dan beberapa staf terpilih yang termasuk dalam golongan sasaran dan benar-benar memerlukan bantuan.

Shaiful berkata, bakul berisi keperluan asas itu diagihkan bagi menunjukkan keprihatinan terhadap ahlinya ekoran tiada sebarang pertandingan sukan dianjurkan pada tahun ini berikutan negara masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Menyedari kepentingan barangan keperluan asas untuk meneruskan kehidupan seharian, pendekatan yang diambil dengan mengagihkan bakul makanan ini dilihat sebagai salah satu saluran untuk menghargai semua ahli KESUKAS yang masih kekal setia bersama kelab ini.

SAVE 20210819 160110

“Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru semua staf untuk menjadi ahli KESUKAS agar lebih banyak program sukan dan kebajikan dapat dirancang seterusnya dilaksanakan pada masa hadapan,” ujarnya.

Pengagihan bakul makanan kepada 209 ahli KESUKAS dilakukan secara pandu lalu di perkarangan Dewan Kuliah C, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, hari ini.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 126