BERAYA DI KAMPUS, 1 SYAWAL DIRAI PENUH KESYUKURAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Mei 2022 - Meskipun sambutan 1 Syawal pada tahun ini amat bererti kepada seluruh umat Islam kerana telah dibenarkan menyambutnya berbanding tahun sebelum ini ekoran pandemik COVID-19, namun ada juga pelajar yang terpaksa beraya di kampus.
Di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), sebilangan pelajar berada di kampus pada hari lebaran terutama pelajar antarabangsa, pelajar tahun akhir dan pelajar pasca siswazah yang memilih untuk beraya di kampus.
Sehubungan itu, sempena kedatangan 1 Syawal, Pusat Islam Kampus Kesihatan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) mengambil inisiatif meraikan sambutan hari raya dengan menyediakan pelbagai juadah seperti satay, nasi hujan panas serta kuih muih kepada pelajar yang dibungkus dan diagihkan oleh sukarelawan bertugas.
Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan, Amira Abd Sattar @ Ismail, menu juadah hari raya ini merupakan inisiatif Pusat Islam dan BHEPA dan diharap ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan perasaan sedih kerana tidak dapat balik beraya dan juga mengambil peluang meraikan 1 Syawal di dalam kampus setelah dua tahun kita tidak meraikan suasana raya sepanjang tempoh PKP.

Salah seorang pelajar antarabangsa yang tidak balik beraya, Altamimi Mouayyad, 23, dari Arab Saudi yang sudah dua tahun tidak balik beraya bersama keluarga tercinta berkata, suasana sambutan hari raya di dalam kampus bersama rakan-rakan yang lain dapat mengubati perasaan rindu kepada keluarga.

"Saya jadikan pengorbanan ini sebagai satu titik permulaan dalam persediaan menempuh alam kerjaya dalam bidang perubatan agar dapat mendepani dugaan dan cabaran yang akan mendatang kelak, ” kata pelajar perubatan tahun empat ketika ditemui usai solat sunat Aidilfitri di Masjid Mukim Kampus Kesihatan.
Teks : Mohamad Iqmal Mathlan / Foto : Mohd Hafiz Ya'acob
- Created on .
- Hits: 138