USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 November 2021 – Pejam celik pejam celik sudah hampir dua tahun negara mengharungi ancaman pandemik COVID-19. Selepas sekian lama hidup dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasti ramai yang telah bersedia untuk terus hidup bersama-sama virus COVID-19.
Kita perlu terima kenyataan bahawa virus ini mungkin mengambil masa yang lama untuk lenyap atau hilang. Hakikatnya, kita perlu akui COVID-19 berkemungkinan besar menjadi endemik, iaitu kekal serta menjadi sebahagian daripada kehidupan harian manusia sebagaimana virus lain seperti demam, selesema, batuk dan sebagainya. Persoalannya, bersediakah kita untuk hidup bersama virus yang masih berada di persekitaran kita?
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, memasuki fasa endemik, ia tidak bergantung kepada kadar vaksinasi tinggi sahaja, tetapi kesedaran mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) haruslah berjalan seiring.
“Setiap pihak perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pematuhan SOP dapat dipertingkatkan dan dikekalkan terutama sekali apabila kes harian masih merekodkan angka tinggi.
“Apabila kebenaran merentas daerah dan negeri dibenarkan, boleh lihat masih ramai yang tidak cakna dengan pematuhan SOP. Setiap kali hujung minggu, pusat membeli belah, pantai-pantai dan pusat peranginan akan menjadi lokasi tumpuan sehingga sesak dan sukar untuk mengekalkan penjarakan fizikal.
“Justeru, perkara ini harus dilihat dengan lebih teliti kerana jelas menunjukkan masih ramai yang tidak sedar bahaya virus COVID-19. Walaupun negara bakal beralih ke fasa endemik, tidak bermakna virus COVID-19 sudah tiada dan semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi memastikan orang ramai faham apa itu endemik,” katanya semasa membuat penggulungan sesi bual bicara ‘Menuju Endemik, Bersediakah Kita?’ yang berlangsung di Kampus Kesihatan, hari ini.
Shaiful yang juga moderator dalam sesi tersebut mengulas bahawa beralih ke fasa endemik adalah baik, namun perlukan kesedaran dan kefahaman yang amat tinggi dalam diri masyarakat.
“Apabila memasuki fasa endemik, bermakna kita memasuki fasa mitigasi yang mana di sekeliling kita ada virus COVID-19 dan ia akan menjadi penyakit yang memang ada dalam komuniti.
“Adalah penting untuk orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan cara memastikan diri anda divaksinasi dan mengekalkan amalan norma-norma baharu serta menjaga penjarakan fizikal secara berterusan di samping penyampaian maklumat yang efektif harus bermula dari sekarang untuk membolehkan semua pihak bersedia memasuki fasa tersebut,” ujarnya lagi.
Menurut Shaiful, suntikan vaksin bukanlah jaminan 100 peratus kita tidak dijangkiti virus maut itu kerana vaksin hanya mampu mengurangkan risiko jangkitan lebih serius, namun sesiapa sahaja masih terdedah kepada virus COVID-19.
“Kerajaan juga telah melakukan pelbagai cara dan memberikan kelonggaran untuk kita kembali kepada kehidupan normal seperti sedia kala dan kita perlu bertanggungjawab dalam menjayakan aspirasi ini.
“Sekali lagi diingatkan, berjaya atau tidak kita memasuki fasa endemik terpulang kepada diri kita sendiri. Jangan terlalu seronok dan gembira dengan keadaan sekarang kerana kita belum menang dan virus durjana itu pada bila-bila masa boleh mengganas kembali jika kita semua alpa,” ulasnya lanjut.
Sesi bual bicara ini turut menampilkan empat (4) orang pakar dalam bidang masing-masing iaitu, Pakar Kesihatan Awam merangkap Penyelaras Bilik Gerakan COVID-19 Kampus Kesihatan, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohamad; Timbalan Pengarah Operasi merangkap Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Pakar Psikiatri merangkap Penyelaras ‘Psychological First Aid’, Profesor Madya Dr. Asrenee Abd. Razak dan Timbalan Pendaftar, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Unit Fotografi UKAST / Reka grafik: Ahmad Fansuri Salleh