USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 September 2021 - Intervensi awal murid berkeperluan khas (MBK) adalah penting bagi mengelak masalah yang lebih besar dalam perkembangan kanak-kanak seperti kelewatan bahasa dan pertuturan, kelemahan dalam akademik, pemencilan sosial dan lebih membimbangkan peluang kerjaya yang terhad apabila mereka dewasa kelak.
Sejak tahun 2003, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) memulakan 'Program Saringan Pendengaran Bayi Baru Lahir' bagi mengesan masalah pendengaran dalam kalangan bayi yang dilahirkan.
Pengesanan ini amat penting agar program intervensi berkaitan dapat dilaksanakan segera seawal umur tiga (3) bulan untuk membantu mereka mencapai tahap perkembangan bahasa dan pertuturan yang terbaik.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail semasa merasmikan siri webinar program Bicara Tiga (3) Penjuru, Cakna Murid Berkeperluan Khas berkata, kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di Kampus Kesihatan mendapati masalah pendengaran tahap ringan dalam kalangan murid sekolah khususnya di Kelantan adalah tinggi dan situasi ini memberi kesan terhadap pencapaian akademik mereka.
"Pasukan Implan Koklea USM atau kini dikenali sebagai 'Hearing Implant Team' (HIT) yang telah berjaya melakukan pembedahan implan koklea pertama pada tahun 2003, kini terus aktif memberikan rawatan dan rehabilitasi kepada pesakit biarpun dalam keadaan pandemik seperti sekarang.
"Objektif utama pasukan HIT USM ini ditubuhkan adalah untuk membantu pesakit-pesakit yang menghadapi masalah pendengaran mendapat rawatan dan khidmat terbaik demi masa hadapan yang lebih berkualiti dan terjamin dan ianya memerlukan kerjasama semua pihak terutama ibu bapa serta pesakit itu sendiri," katanya.
Siri webinar anjuran bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan USM ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada guru-guru, Pembantu Pengurusan Murid (PPM) serta ibu bapa khususnya di negeri Perak dalam membantu menguruskan golongan MBK sama ada di sekolah, di rumah atau di mana sahaja mereka berada di samping memberi fokus kepada kepentingan penjagaan kesihatan telinga, pendengaran, kemahiran bahasa, pertuturan serta sokongan emosi dan psikologi golongan MBK.
Tambah Shaiful, USM sentiasa mengutamakan libatsama Universiti, komuniti serta pelbagai pihak lain untuk bekerjasama dalam perkongsian serta menyebarluas maklumat agar kepakaran setiap daripada sektor yang terlibat dapat dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat.
Turut sama di dalam talian semasa perasmian ialah Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI, Profesor Madya Dr. Abdul Rahim Razali dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, JPN Perak, Abdul Rahman Mohd Yusof.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Ihsan UKAST TV