USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Ogos 2021 - Situasi pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada bekalan darah di Unit Perubatan Transfusi (UPT), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) berikutan penurunan bilangan penderma ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara.
Menurut Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, kebimbangan masyarakat dan penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur turut menjadi penyebab.
“Bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh UPT Hospital USM bagi menarik penderma darah tampil menderma mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Hari ini, seramai 50 orang ahli ‘Kelantan Bikers’ tampil menderma secara berperingkat bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari mengikut masa yang telah ditetapkan.
“Bagi pihak Hospital USM dan juga pesakit yang menerima darah, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penderma kerana darah yang anda dermakan mampu menyelamatkan banyak nyawa.
"Saya juga sangat menghargai kerjasama 'Lions Club' dan Mc Donalds Malaysia yang turut memberi sumbangan dalam memastikan kelangsungan aktiviti pada hari ini berjalan lancar," ujarnya.
Tambah Sukari, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Hospital USM yang sentiasa bertungkus lumus mewar-warkan kepada syarikat korporat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan sebagainya dalam mengubah stigma mereka agar tidak perlu bimbang untuk meneruskan aktiviti menderma darah kerana ia dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan selaras dengan garis panduan antarabangsa.
“Ini termasuklah saringan awal yang dilakukan ke atas bakal penderma di mana hanya yang tiada gejala, tidak mengalami jangkitan COVID-19 atau tidak ada kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dalam masa 14 hari sahaja yang boleh meneruskan pendermaan darah.
“Petugas kesihatan juga akan memastikan penderma memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, mengisi borang deklarasi risiko COVID-19 Kampus Kesihatan serta mencuci tangan menggunakan pensanitasi sepanjang berada di lokasi,” katanya lagi.
Sukari turut menyatakan kebimbangannya sekiranya trend penurunan pendermaan darah itu berterusan maka secara tidak langsung ia akan menjejaskan keupayaan dalam merawat pesakit.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman