Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BUDAYA KERJA SELAMAT TERAS PERSEKITARAN KONDUSIF DI HPUSM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Mei 2026 – “Budaya kerja selamat dan semangat saling membantu perlu terus diterapkan dalam kalangan warga kerja bagi memastikan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kekal sebagai sebuah hospital yang selamat, kondusif dan selesa untuk staf serta pesakit,” demikian petikan ucapan Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani semasa merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Day) 2026 Peringkat HPUSM di Auditorium Blok Pentadbiran, semalam.

1000258851

Menurut beliau, melalui pendekatan kerjasama melibatkan pelbagai jabatan serta rakan industri, HPUSM komited melaksanakan penambahbaikan fasiliti dan aspek keselamatan tempat kerja secara berterusan walaupun berdepan kekangan kewangan semasa.

“Semangat ‘payung memayungi’ dan saling membantu perlu diterapkan dalam budaya kerja supaya setiap isu berkaitan keselamatan, kesihatan dan keselesaan tempat kerja dapat ditangani secara bersama demi manfaat seluruh warga hospital.

1000258853

“Walaupun terdapat kekangan kewangan, kita perlu memastikan sumber sedia ada dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menambah baik persekitaran kerja serta memastikan kemudahan hospital sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif,” katanya.

1000258865

Ab Rahman Izaini berkata, antara aspek yang diberi perhatian termasuk keselamatan dan keselesaan di wad, klinik luar serta bangunan lama hospital melibatkan kemudahan seperti bilik air, ruang rawatan, laluan staf dan pesakit serta kemudahan asas lain.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru semua jabatan supaya mengemukakan cadangan penambahbaikan di lokasi masing-masing supaya persekitaran kerja menjadi lebih selamat, tersusun, bersih dan mesra pengguna.

1000258867

Ab Rahman Izaini turut berharap agar usaha penambahbaikan yang dilaksanakan secara kolektif mampu memberi impak besar terhadap imej hospital sekali gus menjadikan HPUSM sebagai institusi penjagaan kesihatan yang mengutamakan keselamatan, kebersihan dan profesionalisme.

1000258855

“Keselamatan pesakit tidak mungkin dapat dicapai secara optimum sekiranya keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan warga kerja diabaikan.

1000258863

“Apabila para petugas bekerja dalam suasana yang selamat, harmoni dan sihat dari sudut fizikal serta mental, maka mutu perkhidmatan yang diberikan juga akan menjadi lebih berkualiti, cekap dan selamat kepada pesakit,” jelasnya lagi.

1000258857

Mengulas tema sambutan tahun ini iaitu “Bersama Memastikan Persekitaran Kerja Psikososial yang Sihat”, beliau berkata, tema tersebut amat bertepatan dengan realiti dunia pekerjaan masa kini yang semakin memberi perhatian terhadap aspek kesejahteraan mental, emosi dan sosial di tempat kerja.

1000258859

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang sambutan berlangsung antaranya forum bertajuk ‘Psikososial di Tempat Kerja: Positif atau Sekadar Bertahan’, pertandingan video pendek bertemakan kesihatan mental di tempat kerja, aktiviti interaktif serta perkhidmatan sokongan sosial setempat melalui kerjasama Yayasan Kebajikan Negara.

1000258861

Selain itu, turut diadakan pameran berkaitan Prosedur Kerja Selamat (PKS) serta perkhidmatan saringan kesihatan mental yang dikendalikan oleh gabungan kaunselor HPUSM dan Kampus Kesihatan USM.

1000258869

1000258871

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Pentadbiran) HPUSM, Mohd Saberi Mohd Yusoff dan Ketua Perkhidmatan Pentadbiran dan Latihan HPUSM, Dr. Tengku Mastura Tengku Mohd.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 320