CCN 2024 BERHIBUR SAMBIL MENGENALI BUDAYA BANGSA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Mei 2024 - Malam Kebudayaan Cina 2024 atau ‘Chinese Cultural Night’ (CCN) 2024 ke-12 di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah berlangsung dengan penuh kehangatan dan semangat serta menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam merayakan kepelbagaian budaya.
Program yang dianjurkan oleh Kelab Wushu Kampus Kesihatan USM ini mengetengahkan warisan budaya Cina yang kaya melalui persembahan seni lakonan, nyanyian dan muzik, makanan tradisional dan pameran seni serta persembahan tarian singa yang memukau.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, program ini tidak hanya menjadi platform untuk mempersembahkan kebudayaan masyarakat Cina, tetapi ia juga bertujuan memupuk pemahaman dan saling hormat antara pelbagai budaya
.
“Terima kasih kepada jawatankuasa penganjur CCN 2024 atas penganjuran program yang menekankan pentingnya memelihara dan mempromosi kepelbagaian budaya dalam persekitaran universiti seperti ini.
“Ini jelas membuktikan bahawa mahasiswa USM memenuhi kepentingan prinsip kepelbagaian dan inklusif yang ditekankan oleh USM,” katanya ketika merasmikan CCN 2024, di sini semalam.
Tambah Shaiful, dalam dunia yang semakin berkembang pesakit kini, perayaan seperti ini mengingatkan kita akan keindahan, kepelbagaian dan kekuatan yang dibawa oleh masyarakat Cina kepada komuniti.
Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Persatuan Cina Kelantan, Dato' Oie Poh Choon; Timbalan Dekan Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan; wakil Penasihat Kelab Wushu Kampus Kesihatan, Dr. Chang Kah Haw dan Pengarah Projek CCN 2024, Lee Yi Lin.
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 411