CCN 2025 KETENGAH ELEMEN BUDAYA CINA DI PENTAS USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Mei 2025 - Persembahan Malam Kebudayaan Cina Edisi ke-13 atau ‘Chinese Cultural Night’ (CCN) 2025 yang berlangsung semalam telah menarik kehadiran kira-kira 1,000 penonton ke Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).
CCN 2025 berjaya mengetengahkan pelbagai elemen budaya Cina yang kaya dan bermakna selain menjadi platform kepada individu daripada pelbagai latar belakang untuk meneroka dan memperoleh pemahaman yang mendalam tentang budaya Cina, tradisi lama dan nilai-nilai terasnya.
Berucap ketika merasmikan CCN 2025, Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Kampus Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail berkata, program ini menjadi lambang kejayaan dalam usaha memupuk semangat kebersamaan, mengiktiraf kepelbagaian budaya serta memperkasakan nilai seni dan warisan dalam kalangan generasi muda.
"Program kebudayaan seperti ini penting dalam memupuk keharmonian, mengeratkan hubungan antara kaum dan mengukuhkan perpaduan.
"Tema yang diketengahkan oleh CCN tahun ini, ‘Breaking Free: A Dance with Destiny’ juga melambangkan keberanian generasi muda membentuk masa depan sendiri sambil mengekalkan jati diri budaya masing- masing," katanya yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan USM merasmikan program tersebut.
Tambah Aziah, program ini juga sejajar dengan agenda USM dalam memupuk budaya saling menghormati dan memperkukuh dialog antara pelbagai budaya sebagai sebuah universiti APEX yang komited terhadap kelestarian dan pembangunan holistik.
"USM juga berpegang teguh kepada keyakinan bahawa kepelbagaian merupakan suatu kekuatan yang membolehkan masyarakat hidup dalam harmoni, membina empati dan maju bersama sebagai sebuah negara yang bersatu padu.
Menurut beliau, penganjuran CCN 2025 juga merupakan bukti yang jelas bahawa mahasiswa USM telah memenuhi prinsip kepelbagaian dan inklusif yang menjadi dasar utama yang diterapkan oleh universiti.
"Dalam era globalisasi yang terus berkembang kini, program seperti ini sangat menggamit memori dan mengimbau kembali nilai keindahan, kepelbagaian dan kekuatan yang disumbangkan oleh masyarakat Cina.
CCN 2025 yang berlangsung lebih tiga (3) jam ini menampilkan pelbagai persembahan menarik seperti tarian singa, sketsa, nyanyian, diabolo, wushu, tarian tradisional dan gendang Cina.
Turut hadir ialah Presiden Gabungan Pertubuhan Tiong Hua Kelantan, Dato' Oie Poh Choon; Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad; Penasihat Kelab Wushu Kampus Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah dan Pengarah Projek CCN 2025, Kok Jen Yew.
Teks: Marlina Zahari/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 226