CCN PLATFORM SENI DAN BUDAYA: PELAJAR USMKK TONJOL BAKAT DAN KEPIMPINAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Mei 2026 – “Penganjuran sebuah program kebudayaan berskala besar seperti ini sememangnya bukan suatu tugas yang mudah kerana ia memerlukan perancangan yang teliti, semangat kerja berpasukan, kreativiti serta keazaman yang tinggi, maka hasilnya jelas dapat dilihat melalui pelbagai persembahan yang meriah dan memukau para penonton,” demikian petikan ucapan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail ketika merasmikan '14th USMKK Chinese Cultural Night' (CCN), semalam.

Menurut Shaiful, CCN bukan sekadar sebuah program hiburan semata-mata, malah ia merupakan satu platform penting untuk mempromosi dan memelihara kekayaan budaya, tradisi dan warisan masyarakat Cina.

“Saya yakin program seumpama ini mampu menggalakkan penerokaan budaya dan semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, sekali gus memperkukuh keharmonian, toleransi dan perpaduan.

“Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penganjur, khususnya ahli Kelab Wushu Kampus Kesihatan USM atas segala usaha, komitmen dan dedikasi dalam menjayakan program ini.
“Tidak lupa juga kepada Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Kelantan dan para penaja atas sokongan dan kerjasama serta komitmen berterusan," ujarnya.

Beliau juga berharap agar hubungan kerjasama yang erat antara pihak universiti dan komuniti terus diperkukuhkan demi manfaat generasi akan datang.
Tambah Shaiful, penganjuran program kebudayaan seperti ini memberi ruang yang baik kepada para pelajar menampilkan bakat dan kreativiti mereka.

“Saya sangat gembira melihat para pelajar mengambil inisiatif untuk menganjurkan program seperti CCN ini kerana pengalaman sebegini memberi sumbangan besar terhadap perkembangan diri dan pembentukan sahsiah mereka.
“Saya berharap para pelajar dapat menggunakan peluang yang sangat bernilai ini untuk membina kemahiran insaniah serta mempelajari cara untuk bekerjasama secara berkesan dengan individu daripada pelbagai latar belakang.

“Pendedahan kepada kerja berpasukan seperti ini dapat memupuk sifat kepimpinan, profesionalisme, kreativiti, daya tahan serta semangat kesukarelawanan yang akhirnya akan melahirkan graduan yang mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Program '14th USMKK CCN', Rachel Teh Siew Wen, pula berkata, sambutan CCN pada tahun ini tampil dengan pendekatan yang lebih mendalam dan penuh mesej.
“Jika pada tahun-tahun sebelumnya kami mengetengahkan kisah legenda atau tokoh klasik, namun pada tahun ini, kami mengangkat karya sastera klasik Dinasti Yuan iaitu ‘The Injustice to Dou E’ yang mana jalan ceritanya lebih berat dan menyentuh isu keadilan, penindasan serta keberanian menegakkan kebenaran.

"Ini amat bertepatan dengan tema CCN tahun ini iaitu ‘Dawn Unveiled: The Rise of Justice’ yang bermaksud cahaya yang muncul selepas kegelapan dan kemenangan kebenaran setelah melalui penindasan.
“Selain itu, produksi tahun ini juga melibatkan elemen pentas yang lebih menyeluruh merangkumi lakonan, tarian, nyanyian, wushu dan ‘24 Season Drums’ yang menjadikan persembahan lebih dramatik dan berimpak,” ujarnya.

Menurut beliau, penganjuran CCN kali ini mendapat kerjasama yang baik daripada pelajar pelbagai pusat pengajian di USM.

“Setiap pelajar memainkan peranan penting sama ada sebagai pelakon, penari, pemuzik, ahli teknikal atau jawatankuasa pengurusan dan sepanjang proses persiapan mereka belajar untuk berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan saling menyokong antara satu sama lain demi mencapai matlamat yang sama.

“Saya amat berharap agar persembahan pada malam ini bukan sahaja menghiburkan kita semua, tetapi turut meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan ekspresi seni,” jelasnya lagi.

Turut hadir menyaksikan '14th USMKK CCN' ialah Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Kelantan, Dato’ Oie Poh Choon; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin dan wakil Penasihat '14th USMKK CCN' yang juga Penasihat Kelab Wushu Kampus Kesihatan USM, Dr. Chang Kah Haw.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 613