CEGAH PENULARAN COVID-19: HOSPITAL USM PERKETAT PERATURAN PELAWAT DAN PENEMAN PESAKIT
Penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia ternyata memberi ancaman yang besar kepada nyawa manusia selain meninggalkan kesan kepada pelbagai aspek kehidupan. Negara kita juga tidak terkecuali apabila bilangan kes positif dan kematian terus meningkat serta membimbangkan.
Tindakan pantas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 14 April 2020 dilihat sebagai langkah pencegahan bagi mengekang dan menghalang penularan wabak ini.
Pengurusan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) juga tidak ketinggalan memantau rapi perkembangan mutakhir penularan wabak ini khususnya di negeri Kelantan untuk meminimumkan risiko jangkitan di dalam fasiliti perawatan.
Langkah yang telah diputuskan antaranya ialah tiada pelawat dibenarkan masuk ke dalam wad kecuali bagi kes kecemasan, kes kritikal atau yang sangat memerlukan, hanya seorang peneman dibenarkan di dalam wad, semasa temu janji klinik untuk pesakit kanak-kanak dan pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan sahaja.
Selain itu, masa melawat pada setiap hari juga dipendekkan kepada 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang dan 5.00 petang hingga 6.30 petang termasuk Jumaat, Sabtu dan Cuti Am.
Sebagai sebuah hospital pengajar dan rujukan di Pantai Timur, Hospital USM menerima pelanggan yang berurusan tidak kurang 2,000 orang setiap hari.
Berikutan penularan wabak COVID-19 yang kian membimbangkan, pengurusan Hospital USM mengambil inisiatif menjadualkan semula tarikh temu janji klinik pesakit bagi kes-kes tertentu.
Pesakit akan dihubungi petugas klinik untuk memaklumkan penukaran tarikh baharu dan Hospital USM juga memberi kelonggaran kepada pesakit yang mempunyai temu janji dan kehabisan ubat untuk membuat penyambungan ubat tanpa perlu datang ke klinik.
Pesakit hanya perlu menghubungi klinik tersebut berdasarkan nombor telefon yang tertera pada kad rawatan atau hubungi talian 09-7673000 dan doktor yang bertugas akan membuat sambungan ubat secara atas talian melalui 'Prescription Online System' (POLS).
Kaedah ini dapat mengurangkan pergerakan pesakit atau waris yang hanya perlu ke Farmasi untuk mendapatkan bekalan ubat mereka. Orang ramai juga dinasihatkan agar mengamalkan penjarakan sosial atau 'social distancing' serta tidak datang ke hospital dalam bilangan yang ramai dan diharap bersabar dalam menghadapi situasi ini.
Ketika kita seronok menghabiskan masa bersama keluarga di rumah, anggota kesihatan yang bertindak sebagai frontliner memerangi wabak ini tidak pernah dapat merasa duduk diam, goyang kaki, berehat dan bersantai seperti kita.
Kerajaan sendiri menyedari dan mengakui ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan kerana terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes COVID-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu bersikap matang, rasional, komited dan berdisiplin. Jadilah masyarakat yang bijak dengan mematuhi arahan ‘Stay At Home’ bagi memastikan usaha dan saranan kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dapat dipatuhi. Marilah sama-sama kita putuskan rantaian COVID-19.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & Raziatul Ain Zamri (Pelajar Praktikal USM)
- Created on .
- Hits: 136