USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Julai 2023 – Sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Menyedari perkara tersebut, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan ‘Colour Run’ 2023 di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan, hari ini.
Sukan mampu menjadi wadah penting dalam usaha membentuk sebuah keluarga Malaysia yang harmoni merentasi garis kaum dan agama kerana sejak dari dahulu sukan mengajar kita untuk menyelami erti perpaduan, bekerjasama dan menanam rasa cinta kepada negara sebagai bangsa yang tinggi dengan nilai kasih sayang.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, sejak wabak COVID-19 melanda negara, aktiviti atau program yang melibatkan perhimpunan besar tidak dapat dijalankan termasuk ‘Colour Run’ atas beberapa faktor yang perlu diambil kira seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Namun, pada tahun ini, program ‘Colour Run’ 2023 dapat diteruskan kembali setelah beberapa tahun tertangguh dan walaupun dalam suasana krisis kesihatan yang masih membelenggu negara, sambutan ‘Colour Run’ kali ini tetap meriah penyertaannya.

“Syabas saya ucapkan kepada para peserta yang mengambil bahagian dalam program ini kerana begitu bersemangat walaupun sibuk dengan rutin harian masing-masing termasuk sebagai seorang pelajar,” katanya.
Shaharum turut menyeru para pelajar Kampus Kesihatan agar mengusulkan lebih banyak cadangan program kesukanan seumpama itu bagi meningkatkan penglibatan dalam kalangan pelajar.

Beliau turut mengingatkan semua peserta agar sentiasa berwaspada dan menjaga kesihatan ketika mengikuti program tersebut.
“Bagi mengelak berlakunya masalah kesihatan seperti strok haba, dehidrasi, pengsan dan sebagainya, para peserta perlu memastikan bekalan air yang dibawa mencukupi, memakai pakaian yang bersesuaian dan membawa kelengkapan sukan yang lain seperti topi, kipas dan lain-lain yang dirasakan perlu.

“Awasi langkah dan berjaga-jaga dalam berseronok agar kita tidak mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan orang lain,” ujarnya lagi.


Turut hadir dalam program yang disertai kira-kira 200 peserta itu ialah Penasihat Persatuan Sains Kesihatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM, Dr. Adam Abdul Malik; Penasihat Program ‘Colour Run’ 2023, Mohamad Norzulhairie Othman dan Pengarah Projek ‘Colour Run’ 2023, Nik Zahid Asyraf Nik Ahmad Zuky .
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman