‘COLOUR SPLASH RUN' 2024 - PROMOSI GAYA HIDUP SIHAT DENGAN LEBIH KREATIF
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Mei 2024 - Dalam kesibukan menjalankan tanggungjawab dan komitmen kerja serta pelbagai aktiviti di kampus, warga Universiti Sains Malaysia (USM) sering kali menghadapi cabaran untuk mengekalkan gaya hidup yang aktif dan sihat.
Menyedari keperluan ini, Persatuan Sains Perubatan (MedSoc) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kesihatan USM menganjurkan program 'Colour Splash Run' 2024 yang berjaya mengumpulkan seramai 150 orang peserta terdiri daripada staf dan pelajar USM serta orang awam untuk bersama-sama mempromosikan amalan gaya hidup sihat dengan cara yang lebih kreatif.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, berkata, program ini merupakan satu inisiatif yang bertujuan menggalakkan aktiviti fizikal serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga Kampus Kesihatan USM dan orang awam.
“Aktiviti ini merupakan perhimpunan yang menggabungkan peserta daripada pelbagai latar belakang sekaligus mengingatkan kita bahawa kehidupan ini seperti lukisan yang penuh warna-warni.
"Setiap langkah yang kita ambil adalah satu coretan kecil yang menyumbang kepada keindahan dalam kehidupan seharian kita," ucapnya dalam Majlis Perasmian 'Colour Splash Run' 2024 di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Menurut Shaiful, selain bersenam dan beriadah, program ini juga merupakan platform untuk menggalakkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dan fizikal terutamanya kepada para pelajar USM sendiri.
“Aktiviti seperti ini amat menarik kerana semua peserta dapat bersama-sama membuat larian dengan percikan dan ’tembakan’ air yang berwarna warni.
“Larian seumpama ini dapat membantu warga kampus dan orang awam dalam mengisi aktiviti seharian bersama keluarga dan tidak hanya menggunakan gajet," ujarnya lagi.
Shaiful turut berharap agar semua peserta gembira menyertai setiap sesi yang telah diatur oleh penganjur dan menghayati setiap warna dan senyuman yang tercipta.
"Saya juga berharap agar warga kampus dan orang awam sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti seumpama ini kerana gaya hidup yang aktif akan melahirkan insan yang kuat dari segi mental dan fizikal," jelasnya.
Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Hafiz Assad Zakaria; Ketua Pegawai Psikologi BHEPA, Mohd Norzulhairie Othman dan Pengarah Program 'Colour Splash Run' 2024, Mohamad Azhad Aizad Abdul Halim.
Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan/
Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 427