Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

DARI POS TELANOK KE KAMPUS KESIHATAN USM: SEMANGAT MERDEKA SEORANG BEKAS KOMANDO

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2025 - "Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga keberanian mempertahankan tanah air dalam apa jua cara dengan jiwa dan raga," itulah semangat juang yang ada dalam diri seorang Pengawal Keselamatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Noor Kamarudin Yaakub.

1000182437

Lebih membanggakan, Noor Kamarudin, 59, atau lebih dikenali sebagai Noor Komando yang juga pesara tentera turut menukilkan rasa itu dalam novel ‘Telanok: Kisah Benar’. Bukan sekadar karya biasa, ia merupakan sebuah catatan jujur dan mendalam tentang pengalaman beliau sebagai anggota tentera yang pernah ditugaskan di Pos Telanok, sebuah pos keselamatan terpencil dan penuh cabaran. Istimewanya novel ini, ia memaparkan semangat perjuangan yang terus relevan dalam memahami dan menghayati erti kemerdekaan negara.

1000182431

Perjuangan di Pos Telanok merupakan cerminan erti kemerdekaan bagi bapa kepada enam (6) cahaya mata ini. Kecekalan anggota tentera yang bertugas di kawasan sukar, berdepan cuaca ekstrem, kekurangan logistik dan potensi ancaman keselamatan tidak sedikitpun mematahkan semangat juang beliau dan pasukan dalam menggalas amanah serta tanggungjawab mempertahankan negara.

1000182433

Menurut Noor Kamarudin, semangat ini mencerminkan perjuangan kemerdekaan negara, di mana nenek moyang kita dahulu sanggup mengorbankan segala-galanya demi membebaskan tanah air daripada penjajahan.

“Dalam konteks Telanok, pengorbanan itu diteruskan bukan dengan menentang penjajah, tetapi dengan mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara agar kemerdekaan yang dicapai tidak terancam.

1000182441

“Semangat itu sentiasa berkobar-kobar dalam diri saya walaupun kini saya tidak lagi memakai uniform tentera.

“Selepas menamatkan perkhidmatan dalam angkatan tentera, saya meneruskan khidmat sebagai pengawal keselamatan, satu tugas yang mungkin sering dipandang ringan, namun sangat penting dalam mengekalkan keselamatan awam dan ketenteraman harian,” ujarnya semasa ditemu bual.

1000182447

Noor Kamarudin berkata, sebagai pengawal keselamatan, beliau masih memikul tanggungjawab melindungi nyawa dan harta orang lain.

“Ini merupakan kesinambungan kepada semangat patriotisme yang dipupuk sewaktu saya di medan tugas dahulu.

“Ia membuktikan bahawa semangat kemerdekaan tidak terhad kepada peranan tentera semata-mata, tetapi boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk selagi ada rasa tanggungjawab dan cinta kepada negara,” jelasnya lagi.

1000182429

Tambah beliau, peranan sebagai pengawal keselamatan juga memerlukan disiplin, kesetiaan, keberanian dan kejujuran iaitu nilai-nilai sama yang ditekankan dalam perjuangan mencapai dan mengekalkan kemerdekaan.

“Keamanan yang kita kecapi hari ini adalah hasil titik peluh dan keringat insan-insan yang mungkin tidak dikenali ramai, tetapi berjasa besar kepada negara.

1000182449

“Dalam konteks Malaysia moden, cabaran mempertahankan kemerdekaan sudah berbeza bentuk. Ia bukan lagi tentang mengangkat senjata, tetapi bagaimana rakyat mampu menyumbang kepada pembangunan negara, menjaga keamanan sosial dan mempertahankan perpaduan nasional,” ujarnya.

1000182451

Noor Kamarudin berkata lagi, novel Telanok juga membawa mesej yang relevan di mana setiap orang mempunyai peranan dalam mempertahankan negara, sama ada melalui profesion tentera, guru, doktor atau penulis dan apa yang penting ialah semangat untuk menyumbang kepada tanah air dengan jujur, ikhlas dan berani.

1000182443

“Novel ini juga secara tidak langsung mengangkat suara tentera sebagai wira tak didendang dan pengorbanan mereka tidak hilang ditelan zaman.

“Selain itu, ia juga menggambarkan satu bentuk semangat kemerdekaan selain memastikan sejarah dan pengorbanan tidak dilupakan oleh generasi baharu,” terangnya.

1000182445

Noor Kamarudin bukan sahaja menulis sebuah novel tentang pengalaman hidup beliau tetapi menulis tentang erti sebenar pengorbanan, patriotisme dan kemerdekaan. Dari hutan belantara di Pos Telanok hingga ke Kampus Kesihatan USM, beliau membuktikan bahawa semangat cinta kepada negara boleh hidup dalam diri sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat, jawatan atau latar belakang.

1000182439

“Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajah, tetapi bebas daripada rasa takut dan ancaman. Sebagai pengawal keselamatan, saya ingin setiap individu di bawah jagaan saya berasa selamat, kerana itulah nikmat kemerdekaan yang sebenar.

“Walaupun skop tugas saya kini berbeza daripada anggota tentera atau polis, namun pengawal keselamatan juga adalah benteng pertama di lapangan awam untuk memastikan suasana aman, terkawal serta menyokong kelancaran aktiviti pendidikan, ekonomi dan sosial,” katanya.

1000182435

Sempena Sambutan Kemerdekaan Negara ke-68 tahun ini, marilah sama-sama kita jadikan karya ini sebagai inspirasi dan penghargaan kepada mereka yang masih setia menjaga keamanan negara, sama ada di barisan hadapan atau di ruang-ruang yang tidak didendangkan. Inilah semangat kemerdekaan yang sejati, berbakti tanpa mengharapkan sanjungan dan berjuang dengan penuh keikhlasan.

Semoga karya beliau terus menjadi pencetus inspirasi kepada semua pihak untuk mula menukilkan kisah hidup, pengalaman dan perjuangan masing-masing. Ia bukan sekadar sebagai catatan peribadi, tetapi sebagai sejarah dan lanskap yang memperkayakan warisan negara. Kerana setiap kisah, sekecil mana pun, adalah sebahagian daripada cerita besar tentang perjuangan, kemerdekaan dan cinta kepada Malaysia.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

 

  • Created on .
  • Hits: 436