DASH 2026 TONJOL PERANAN AI DAN KESIHATAN DIGITAL DALAM TRANFORMASI PENJAGAAN KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Julai 2026 – Teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kini dilihat sebagai pemangkin utama dalam membentuk masa depan sistem penjagaan kesihatan negara, selaras dengan agenda pendigitalan sektor kesihatan Malaysia.

Seiring aspirasi tersebut, ‘The National Digital and AI for Smart Health Festival’ (DASH 2026) yang berlangsung selama dua (2) hari di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menghimpunkan pakar, penyelidik, pengamal kesihatan, wakil agensi kerajaan, rakan industri dan pelajar dari seluruh negara bagi meneroka potensi teknologi digital serta AI dalam mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Festival anjuran Unit Kesihatan Digital, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM itu menjadi platform nasional yang menghubungkan pelbagai pihak bagi berkongsi kepakaran, memperkenalkan inovasi terkini serta merangsang kerjasama strategik ke arah pembangunan teknologi kesihatan yang lebih pintar, cekap dan berfokuskan pesakit.

Dalam ucapan perasmiannya, Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin berkata, landskap penjagaan kesihatan kini sedang melalui perubahan besar apabila teknologi digital dan AI bukan lagi sekadar idea masa hadapan, malah telah menjadi sebahagian daripada amalan harian melalui penggunaan rekod perubatan elektronik, teleperubatan, analitik ramalan, perubatan tepat serta sistem diagnostik berasaskan AI.

Menurut beliau, transformasi tersebut selari dengan aspirasi negara menerusi Kertas Putih Kesihatan yang meletakkan pendigitalan sebagai pemangkin utama reformasi sistem kesihatan, termasuk mengemaskini tadbir urus data kesihatan, penggunaan kecerdasan buatan serta analitik data raya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pesakit.
"Hasrat ini dipertingkatkan lagi melalui Pelan Strategik Pendigitalan, Kementerian Kesihatan Malaysia 2026–2030 yang menjadi hala tuju ke arah ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih berhubung, dipacu data dan berpusatkan rakyat.

"Namun begitu, teknologi semata-mata tidak mampu mengubah sistem kesihatan. Sebaliknya, perubahan sebenar bergantung kepada tenaga profesional kesihatan, pendidik, penyelidik dan pembuat dasar yang mampu memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab dan beretika," katanya.
Kamarul Aryffin turut menegaskan bahawa cabaran kesihatan masa kini memerlukan kerjasama pelbagai bidang kerana setiap disiplin tidak mampu menyelesaikannya secara bersendirian.

Tambah beliau, doktor memahami keperluan pesakit, jurutera membangunkan teknologi, saintis komputer menghasilkan algoritma, pendidik melahirkan bakat masa hadapan, industri mempercepat inovasi manakala kerajaan menyediakan dasar dan tadbir urus yang menyokong pembangunan teknologi kesihatan.
Dalam masa sama, beliau berkata, pendidikan perubatan juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi agar graduan masa hadapan bukan sahaja memiliki pengetahuan klinikal yang mantap, malah menguasai literasi digital, kecerdasan buatan, interpretasi data dan pertimbangan etika.
"Doktor masa hadapan perlu memahami keupayaan serta batasan AI kerana teknologi harus menyokong pertimbangan klinikal, bukannya menggantikan nilai kemanusiaan seperti empati, profesionalisme dan akauntabiliti.

"Pesakit bukan hanya mahukan diagnosis yang tepat, tetapi juga memerlukan keyakinan, empati dan hubungan sesama manusia yang tidak mampu digantikan oleh teknologi," ujarnya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap inovasi AI dalam bidang kesihatan perlu dibangunkan berasaskan bukti saintifik, menjalani proses pengesahan yang teliti, melindungi privasi pesakit, mengurangkan bias serta memastikan akses kesihatan yang lebih adil kepada semua.
“Inovasi tanpa etika hanya akan mewujudkan risiko, manakala inovasi yang berteraskan etika akan membina kepercayaan dan menjadi asas kepada sistem penjagaan kesihatan.
“DASH 2026 menjadi platform yang mampu mencetuskan idea baharu, menjalin kerjasama strategik, menggalakkan pemindahan teknologi serta melahirkan lebih ramai inovator yang akan memacu transformasi sistem kesihatan negara pada masa hadapan,” jelasnya lagi.

Kamarul Aryffin turut menggesa para peserta yang menyertai DASH 2026 memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang festival berlangsung dan berani mengemukakan idea serta bertanya soalan kerana kebanyakan inovasi besar bermula daripada persoalan mudah iaitu mencari kaedah yang lebih baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Turut hadir ialah Pengarah Polisi AI, Pejabat AI Kebangsaan Malaysia, Mohamed Nor Reza Mohamed Ali; Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Ts. Dr. Norhayati Yusop; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed dan Pengarah Program DASH 2026, Dr. Afiq Izzudin A Rahim.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 369