Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

DBP-USM SUBURKAN MINAT WARGA USM DALAM BIDANG PENULISAN UNTUK DEKATI MASYARAKAT

USM, KUBANG KERIAN, 30 JuIai 2023 - Selaras dengan misi dan visi Universiti Sains Malaysia (USM) yang sentiasa mahu dekat dengan masyarakat menerusi pelbagai platform, USM Kampus Kesihatan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melancarkan tujuh (7) buah buku terbitan DBP, hari ini sebagai salah satu cara pemindahan ilmu melalui media kreatif.

862e5c07 9a3e 4d5e a586 7dac6ccf6a10
 
Buku tersebut terdiri daripada empat (4) buah buku umum bertajuk 'Apnea, Tidur Lena Yang Membawa Maut', 'Aduh Sakitnya: Merungkai Fisiologi Kesakitan', 'Apa Yang Anda Perlu Ketahui Tentang Rintis dan Resdung’ dan ‘Hernia' serta tiga (3) buku berbentuk antologi cerpen bertajuk 'Isteriku 46XY’, ‘Suamiku 47XXY’ dan ‘Mustajabnya Tahajud Cinta’ yang kesemuanya bertemakan perubatan dan kesihatan.
 
02eb0ebb f3e0 4e60 9cd5 2812715c3aff
 
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, aktiviti penulisan bersama DBP yang diketuai Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain ini berjaya melahirkan penulis dalam kalangan warga USM terdiri daripada pakar perubatan, staf akademik dan bukan akademik.
 
“Terima kasih saya ucapkan kepada Profesor Dr. Nik Hazlina atas usaha yang berterusan dengan DBP semenjak tahun 2008 lagi.
 c3802d22 0d2f 40c8 8d9c 1675f5945b51 1
 
"Hasil dari usaha beliau ini, lebih 100 judul buku terbitan DBP karya penulis Kampus Kesihatan berjaya diterbitkan merangkumi pelbagai genre termasuk umum, ilmiah dan karya kreatif. 
 
"Malah hari ini, kita dapat melihat di mana 50 orang penulis terlibat dalam penghasilan buku-buku yang dilancarkan," katanya ketika berucap di majlis pelancaran buku tersebut.
 
9a717559 c75f 40e2 b722 28dadffecbbd
 
Shaharum berkata, buku-buku ini adalah bukti kelestarian yang diperkasakan oleh USM kerana buku akan tetap ada biarpun para penulisnya telah meninggal dunia. 
 
"Secara tidak langsung ia juga menggambarkan warga USM sangat prihatin dan bersedia untuk menyampaikan ilmu mengenai sesuatu penyakit serta memberi kesedaran penjagaan kesihatan kepada seluruh rakyat Malaysia.
 
"Kegemilangan sesebuah institusi terletak kepada semangat kecintaan terhadap pengembangan ilmu yang bermanfaat dan kejayaan penghasilan buku-buku melalui penulisan umum dan kreatif ini menunjukkan bahawa kita semua mempunyai keinginan untuk menyebarkan ilmu dan membangkitkan kesedaran mengenai sesuatu penyakit kepada masyarakat," jelasnya lagi.
 
Tambah Shaharum, penulisan kisah pesakit-pesakit kronik mampu menjadi ruang yang memberi semangat kepada para pesakit dan masyarakat untuk lebih memahami dan mendalami emosi seseorang yang dilanda sesuatu penyakit.
 
8bd1fcc9 df23 4505 94d9 d6b0898006e4
 
“Majlis pelancaran buku ini amat bermakna kepada USM dan seluruh warga Kampus Kesihatan kerana hasil penulisan merupakan wadah yang menghubungkan kita dengan masyarakat.
 
"Saya amat berharap agar buku-buku ini dapat mengurangkan rasa takut sesetengah masyarakat dan meningkatkan kesedaran pencegahan awal serta kepentingan mendapatkan rawatan yang sepatutnya daripada pakar-pakar perubatan dan kesihatan yang bertauliah," ujarnya.
 
028fe318 ef64 45eb b8be cb9e84fe9591
 
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian penghargaan kepada penulis-penulis yang terlibat dengan kesemua buku yang dilancarkan hari ini.
 
Turut hadir ialah Ketua Pengarah DBP, Dr. Hj. Hazami Jahari; Pengarah Penerbitan DBP, Fauzilayatun Mustafa; Pengarah DBP Wilayah Timur, Ariza Che Ismail; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis; Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak; Timbalan Dekan (Libatsama Industri - Komuniti & Pembangunan), PPSP, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam; Timbalan Dekan (USM-KLE), PPSP, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Pelancaran Buku DBP-USM, Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain.
 
Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan /Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
  • Created on .
  • Hits: 352