Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

DEKATI KOMUNITI ORANG ASLI POS PASIK, USM PERTURUN ILMU ASAS PERUBATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Julai 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prihatin Madani sekali lagi melaksanakan program pemindahan ilmu bersama komuniti orang asli dengan melatih sukarelawan atau wakil kesihatan terpilih di Pos Pasik, Gua Musang untuk mempelajari ilmu asas perubatan.

562d199f dc63 421b 82b4 dfd682a8d397

Pos Pasik merupakan salah satu pos orang asli yang terletak agak jauh di pedalaman Gua Musang iaitu kira- kira 36 kilometer dari jalan utama dan menyebabkan komuniti mereka agak terhad daripada menerima akses perkhidmatan arus perdana seperti perkhidmatan kesihatan.
 
02340fb1 afce 4c71 be9d 9b144b78107c
 
Menurut Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Hospital USM merangkap Ketua Pengarah Projek Pusat Kesejahteraan USM - Pos Pasik, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab, projek ini merupakan kesinambungan dari Projek Pusat Kesejahteraan Universiti Sains Malaysia (USM) – Pos Balar yang diadakan selama 12 bulan pada tahun 2022-2023 merangkumi empat (4) fasa dan disifatkan sebagai satu projek yang mencapai kejayaan membanggakan dalam melatih sukarelawan orang asli Pos Balar.
 
“Untuk program kali ini, pasukan USM Kampus Kesihatan melatih sekumpulan orang asli dari Pos Pasik sebagai pelatih ataupun wakil kesihatan melalui kaedah pemindahan ilmu (knowledge transfer) sebagai usaha meningkatkan mutu penjagaan kesihatan dalam kalangan mereka.
 
e73cc32f 04bb 42ed a968 29111674af88
 
“Projek ini akan mengambil masa selama lapan (8) bulan merangkumi tiga (3) fasa iaitu Fasa Tinjauan dan Kesedaran Kesihatan (health awareness), Fasa Latihan kepada Pelatih Orang Asli (training of trainers) dan Fasa Penilaian (outcome evaluation). 
 
“Program ini juga melibatkan tiga (3) projek yang akan dijalankan oleh tiga (3) jabatan berbeza iaitu Projek Membangunkan Sukarelawan Terlatih Pos Pasik, Projek Pemerkasaan Kesihatan Oral Komuniti Orang Asli dan Projek Meningkatkan Taraf Penjagaan Kesihatan Komuniti Orang Asli,” katanya.
 
2efcf857 8a1e 40f2 a396 88ed435b482f
 
Tambah Shaik Farid, untuk fasa pertama bermula 21 hingga 23 Julai lalu, seramai 65 peserta dari USM Kampus Kesihatan terlibat dalam program ini. 
 
“Bagi fasa kedua yang dijadualkan pada September 2023, sukarelawan orang asli akan dibawa ke Hospital USM untuk menjalani latihan 'Training of Trainer' (ToT). 
 
3896ecaa 9289 4217 8f7a 6d01ac528971
 
“Fasa ketiga pula akan diadakan selama empat (4) bulan setelah tamat fasa kedua dan fasa ini akan menekankan aspek penilaian hasil pendidikan kesihatan dan ToT yang dijalankan sebelum ini (outcome evaluation),” jelasnya lagi.
 
Shaik Farid berkata, inisiatif pembelajaran ilmu rawatan dan perubatan asas kepada komuniti orang asli ini diharap dapat membantu mereka sekiranya mengalami kecemasan sementara menunggu bantuan perubatan khusus tiba di lokasi mereka.
 
efcc0d2a b2da 4e2d 868d d158807f2794
 
“Kebanyakan misi kemanusiaan ke perkampungan orang asli tidak bersifat kekal dan tiada kesinambungan kerana ia sekadar menghantar bekalan ubat, memberi rawatan dan pemeriksaan percuma serta bantuan makanan.
 
“Melalui projek ini, komuniti orang asli memperoleh ilmu perubatan asas untuk digunakan sekiranya berlaku kecemasan sementara menunggu bantuan dari pihak berwajib tiba.
 
559f8d7d d9c8 4154 a66e 6f41bf55bef2
 
“Sepanjang kursus jangka pendek ini, mereka diberi pendedahan kepada cara merawat dan mencuci luka, membuat 'cardiopulmonary resuscitation' (CPR), rawatan asas kepatahan, rawatan tercekik serta penjagaan kesihatan oral,” ulasnya.
 
Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut dilaksanakan untuk komuniti orang asli Pos Pasik antaranya pemeriksaan kesihatan asas dan ubatan yang diperlukan, pemeriksaan pergigian, penyampaian sumbangan kasut sekolah dan kotak pensil serta sumbangan barangan penjagaan kesihatan.
 
c4b08696 9264 4ff1 9385 b29c3e6d570c
 
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Governan IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Ahmad Muzaffar Ahmad Bakri; Penghulu Pos Pasik, Asem Along; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli, Sani Natiman dan Timbalan Pengarah Projek Pasukan Kesejahteraan USM - Pos Pasik, Dr. Mohd Farried Anwar Mohamed.
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Dr. Mohd Akmal Mohammad
  • Created on .
  • Hits: 303