DERIA PENDENGARAN ANUGERAH ISTIMEWA YANG PERLU DIJAGA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 April 2025 – Deria pendengaran merupakan salah satu keistimewaan yang membolehkan manusia mendengar, mengesan, membezakan, menterjemah serta memahami bunyi-bunyi persekitaran dan pertuturan dalam kehidupan seharian.
Umum mengetahui bahawa masalah pendengaran atau kehilangan pendengaran ialah satu keadaan kesihatan yang menyebabkan seseorang kehilangan keupayaan mendengar bunyi dengan baik.
Telinga terbahagi kepada tiga bahagian iaitu, telinga luar (cuping, lubang telinga sehingga gegendang), telinga tengah (antara gegendang dan koklea) dan telinga dalam (koklea). Masalah pendengaran bergantung kepada bahagian telinga yang terjejas iaitu jenis sensorineural (berlaku apabila sel-sel saraf dalam koklea atau saraf auditori rosak), konduktif (berlaku disebabkan halangan di telinga luar dan tengah yang menghalang bunyi daripada sampai ke koklea) dan campuran (berlaku apabila terdapat masalah pendengaran konduktif dan sensorineural pada masa yang sama).
Menurut Pakar Otologi, Jabatan Otorinolaringologi- Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Nik Adilah Nik Othman, masalah pendengaran merujuk kepada seseorang yang merasa sukar untuk mendengar bunyi dengan jelas.
“Ia berbeza bagi setiap orang kerana mempunyai empat (4) peringkat iaitu ringan, sederhana teruk, teruk dan terlalu teruk (pekak).
“Antara penyebab seseorang mengalami masalah pendengaran jenis sensorineural ialah penuaan dan pendedahan kronik kepada bunyi yang kuat sehingga boleh menyebabkan kerosakan sel-sel saraf yang berfungsi untuk menghantar isyarat bunyi ke otak. Apabila isyarat bunyi kurang, keupayaan pendengaran seseorang juga akan berkurang.
“Selain itu, penyebab jenis konduktif pula ialah kotoran telinga berlebihan yang boleh menghalang pergerakan masuk gelombang bunyi, jangkitan pada telinga luar dan telinga tengah, pertumbuhan struktur telinga yang tidak normal seperti mikrotia dan atresia lubang telinga atau gegendang telinga berlubang,” katanya ketika ditemu bual.
Beliau berkata, antara simptom masalah pendengaran ialah seseorang biasanya akan mengalami kesukaran untuk mendengar dan memahami perkataan terutamanya di tempat yang bising, sering menyuruh orang lain mengulang percakapan, mendengar radio atau menonton televisyen dengan suara yang tinggi (kuat), tidak dapat mengenal pasti arah bunyi dan sukar untuk melibatkan diri dalam perbualan.
“Bagi mengenal pasti bahagian telinga yang rosak dan rawatan yang bersesuaian untuk seseorang pesakit, pemeriksaan fizikal akan dilakukan, iaitu pemeriksaan keadaan telinga luar dan otoskopi (doktor akan menyuluh ke dalam telinga untuk mengenal pasti punca seperti kotoran telinga atau jangkitan telinga) dan ujian garpu tala (tuning fork test) untuk mengesan jenis masalah pendengaran, sama ada jenis konduktif atau sensorineural.
“Selain itu, pesakit juga akan dirujuk untuk menjalani ujian audiometri seperti audiometri nada tulen (Pure Tone Audiometry) atau respon batang otak auditori (Auditory Brainstem Response) bagi menentukan tahap pendengaran, timpanometri untuk mengesan keadaan telinga tengah dan emisi otoakustik (OAE) untuk mengetahui tahap fungsi koklea,” jelasnya lagi.
Tambah Nik Adilah, terdapat banyak faktor risiko yang menyebabkan berlakunya masalah pendengaran iaitu faktor kongenital seperti faktor genetik dan sindromik, faktor diperoleh (acquired) termasuklah pendedahan kepada bunyi bising, bekerja dalam keadaan yang bising, penggunaan ubat ototoksik seperti gentamicin atau ubat kemoterapi dan jangkitan kuman seperti meningitis yang boleh merosakkan koklea juga merupakan risiko menyebabkan masalah pendengaran selain penuaan di mana struktur dalam telinga semakin lemah seiring peningkatan usia.
Nik Adilah berkata, rawatan kepada pesakit biasanya mengikut jenis masalah pendengaran yang dialami oleh mereka seperti masalah pendengaran konduktif, sensorineural dan masalah pendengaran bercampur (mixed).
“Masalah pendengaran konduktif biasanya bersifat sementara dan rawatannya termasuklah pembuangan kotoran telinga atau cecair di telinga tengah, antibiotik bagi infeksi telinga serta pembedahan bagi menampal gegendang berlubang.
“Masalah pendengaran sensorineural bersifat kekal dan rawatan yang paling berkesan adalah menggunakan alat bantu pendengaran dan pemilihan alat bergantung kepada tahap pendengaran seseorang,” ujarnya lanjut.
Menurut Nik Adilah, bagi kes dimana pesakit mengalami masalah pendengaran yang sangat teruk dan tidak dapat dibantu oleh alat bantu pendengaran, alat implan koklea diperlukan, di mana elektrod implan ini perlu diletakkan melalui pembedahan ke dalam koklea.
Jelas beliau, sejak tahun 2004 sehingga kini, lebih 50 pesakit Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah memakai implan koklea.
“HPUSM juga merupakan perintis di Kelantan yang menawarkan pemakaian implan koklea kepada pesakit yang mengalami masalah pendengaran.
“Kami mempunyai ‘USM Hearing Implant Team (HIT)’ yang akan membincangkan permasalahan yang dihidapi oleh pesakit sebelum pelan rawatan atau pembedahan dijalankan ke atas mereka,” jelasnya.
Nik Adilah turut memberitahu bahawa tahap kesedaran masyarakat masih lagi rendah dan sering mengabaikan masalah pendengaran yang dialami oleh mereka sendiri atau anak-anak, serta meletakkan faktor lain kepada masalah pendengaran tersebut seperti kedegilan, lembam, penyakit sindrom down, autisme atau sebagainya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya merasakan terdapat gangguan pada pendengaran bagi memastikan ianya masalah pendengaran atau sebaliknya.
“Bawa anak ke hospital dengan segera untuk rawatan lanjut sekiranya mereka menunjukkan perbezaan daripada sebelumnya seperti tidak memberi maklum balas terhadap percakapan, prestasi akademik menurun dan sering meminta ucapan diulang semula.
“Sesetengah masalah pendengaran boleh dicegah dengan beberapa langkah. Antaranya termasuklah penggunaan peralatan perlindungan bunyi untuk mengurangkan kesan bunyi yang kuat, penjagaan kesihatan telinga dengan mengelakkan penggunaan putik kapas, serta mengurangkan tempoh pendedahan kepada bunyi iaitu tidak lebih daripada 60 minit bagi bunyi yang kurang daripada 60 dB. Selain itu, kestabilan emosi dan kawalan stres juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan pendengaran.
“Sekiranya anda dikesan mengalami masalah pendengaran, pakailah alat bantu pendengaran kerana ia bukan satu stigma negatif, sebaliknya ia merupakan talian bantuan yang akan meningkatkan kualiti hidup yang lebih baik kepada pemakainya,” katanya lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 143