Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa memainkan peranan sebagai sebuah universiti yang cakna komuniti dengan menyertai Program Derma Darah Perdana 360 Siri Jelajah 'Keluarga Malaysia' anjuran Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS), Pusat Darah Negara (PDN) dan Better Nation Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Perdana Menteri (CDERT).
Program yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula pada 25 November 2021 hingga 27 November 2021 itu turut mendapat kerjasama daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Kelab Sukan dan Kebajikan Staf (KESUKAS), Kampus Kesihatan USM.
Program ini adalah bertujuan untuk membantu menambah bekalan darah yang berkurangan terutamanya menjelang musim tengkujuh dan sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara.
Selain itu, program ini turut memupuk keharmonian agensi-agensi kerajaan lain yang turut bekerjasama merealisasikannya seperti Majlis Daerah Ketereh, Polis DiRaja Malaysia, Bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Angkatan Tentera Malaysia selain turut menggalakkan orang awam untuk terus menderma darah.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail turun padang sebagai tanda sokongan kepada program yang dianjurkan. Turut hadir ialah Pengarah HRPZ II, Dato' Dr. Hajjah Selasawati Haji Ghazali; Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Induk Program YKS, Dr. Roslan Basaruddin dan Yang DiPertua KESUKAS merangkap Pengarah Program, Dr. Mohamad Ibariyah Iberahim.