DOKTOR PERLU KENTAL, JANGAN MUDAH MENGALAH – PENGARAH HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Ogos 2026 – Bakal doktor dinasihatkan supaya tidak mudah mengalah ketika menjalani latihan klinikal (housemanship), sebaliknya menjadikan setiap teguran, kesilapan dan cabaran sebagai pengalaman untuk membentuk diri menjadi pegawai perubatan yang lebih baik.

Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, berkata, tempoh latihan klinikal sememangnya mencabar, terutama kepada graduan yang baru menamatkan pengajian perubatan.
Menurutnya, perjalanan menjadi seorang doktor bukan sekadar memperoleh keputusan peperiksaan yang baik atau menguasai ilmu perubatan, sebaliknya memerlukan kesediaan untuk memikul amanah besar terhadap pesakit, keluarga pesakit, rakan sekerja, profesion, masyarakat dan negara.
“Saudara dan saudari telah melalui satu perjalanan yang panjang untuk sampai ke tahap ini.
“Selepas lima (5) tahun menuntut ilmu, menjalani latihan klinikal, menghadapi peperiksaan serta berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang pengajian, saudara dan saudari akan melangkah keluar dari Kampus Kesihatan USM pada 20 Ogos ini untuk memulakan satu lagi fasa penting dalam perjalanan kehidupan dan kerjaya.

“Detik ini merupakan satu titik penting yang menandakan peralihan daripada alam pembelajaran kepada alam perkhidmatan dan tanggungjawab profesional,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian ‘USM House Officer Preparatory Course 2026’ di Auditorium Blok Pentadbiran HPUSM, hari ini.
Tambah Ab Rahman, sebagai sebuah hospital pengajar universiti yang telah melalui perjalanan lebih 40 tahun, USM bukan sahaja bertanggungjawab mendidik dan melatih pelajar daripada aspek akademik serta klinikal, malah perlu mempersiapkan bakal graduan menghadapi realiti sebenar dunia perubatan.
“Atas sebab itulah, ‘USM House Officer Preparatory Course’ 2026 ini amat penting dan diadakan pada masa yang tepat.

“Program ini bukan sekadar memberikan pendedahan berkaitan tugas seorang pegawai perubatan, tetapi turut menjadi platform untuk berkongsi pengalaman, memberikan panduan dan membantu saudara dan saudari membuat persediaan secara lebih menyeluruh sebelum memulakan latihan siswazah,” ujarnya.
Beliau berkata, kebimbangan dan rasa cemas sebelum memulakan kerjaya adalah perkara biasa, namun bakal doktor perlu mempunyai ketahanan mental dan bersedia menerima teguran sepanjang menjalani latihan.
“’Housemanship’ memang bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi ketika pertama kali melaporkan diri kerana saudara dan saudari akan berdepan dengan pelbagai karakter serta situasi.

“Kalau tidak pasti, jangan duduk sahaja. Saudara dan saudari perlu rajin bertanya kerana anda semua masih belajar dan tiada siapa yang tahu semua perkara,” katanya lagi.
Menurut Ab Rahman, bakal doktor juga tidak seharusnya terlalu mengambil hati terhadap teguran atau kata-kata keras daripada senior, sebaliknya mengambil perkara tersebut untuk dijadikan pengajaran.
“Dunia perubatan memerlukan kerja berpasukan dan hubungan baik sesama rakan sekerja perlu dipelihara bagi mewujudkan persekitaran kerja yang positif.
“Jangan cipta masalah dengan kawan. Kita akan berjumpa dengan pelbagai perangai, tetapi kita perlu mewujudkan suasana yang baik dan saling membantu.
“Kalau seorang tidak tahu, yang lain bantu. Kita sudah belajar dan melalui kesusahan bersama selama lima (5) tahun. Jangan kerana persaingan, hubungan sesama kita terputus,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bakal doktor supaya sentiasa meletakkan kepentingan pesakit sebagai keutamaan ketika menjalankan tugas.

“Setiap pesakit perlu dinilai dengan teliti dengan mengenal pasti masalah, membuat penilaian, menyemak keputusan pemeriksaan dan melaksanakan perancangan rawatan yang bersesuaian.
“Kalau tidak pasti, minta bantuan senior atau pegawai perubatan dan jangan takut bertanya kerana kita berhadapan dengan nyawa manusia,” katanya lagi.
Beliau turut menggalakkan bakal doktor supaya sentiasa mencari ilmu baharu dan bertanya kepada pakar atau senior bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran klinikal.
Menurutnya, pengalaman bekerja dalam bidang perubatan termasuk di jabatan kecemasan mengajarnya bahawa seseorang doktor perlu sentiasa merendah diri dan bersedia untuk belajar.
Ab Rahman turut menasihatkan bakal doktor supaya tidak memilih laluan kerjaya semata-mata berdasarkan faktor kewangan atau menganggap profesion perubatan sebagai jalan untuk menjadi kaya dengan cepat.
“Menjadi doktor bukan tiket untuk kaya secara segera. Apabila kita mencapai sesuatu yang dihajati, rezeki dan ganjaran itu akan datang.
“Jangan kerana melihat peluang di luar negara dan gaji yang lebih tinggi, kita terus menganggap tempat lain lebih baik. Kita juga perlu memikirkan sumbangan kepada tanah air,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, graduan perlu membuat pilihan kerjaya dengan bijak sama ada meneruskan perkhidmatan awam, memilih bidang kepakaran atau meneroka laluan kerjaya lain yang sesuai dengan minat dan kebolehan masing-masing.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Rohana Daud turut menasihatkan bakal doktor supaya sentiasa menjaga diri dan tidak mudah mengalah ketika melalui fasa awal kerjaya.
“Hubungan baik dengan staf klinikal perlu dijaga kerana kerjasama antara semua anggota kesihatan amat penting dalam memastikan kelancaran di tempat kerja.
“Graduan juga perlu bersedia menyesuaikan diri dengan persekitaran tempat kerja serta tidak terlalu memilih tugasan ketika ditempatkan di sesuatu jabatan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Tambah Rohana, pengalaman di hospital merupakan ruang terbaik untuk membina kemahiran, keyakinan dan kematangan sebagai seorang doktor.
“Bekerjalah dahulu di hospital dan jangan terlalu memilih tempat kerja hanya mengikut perasaan sendiri sahaja.
“Belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja serta manfaatkan setiap peluang yang diberikan.
“Allah sudah takdirkan yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang benda yang kita nak, kita rasa itulah yang terbaik, tetapi Allah sudah menentukan apa yang terbaik untuk kita. Jadi, terimalah dan teruskan perjalanan,” katanya penuh semangat.

Hadir sama pada program itu ialah Wakil Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (Cawangan Kelantan), Dr. Muhammad Che Yaacob; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Irfan Mohammad; Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa ‘USM House Officer Preparatory Course’ 2026, Profesor Dr. Shatriah Ismail, serta Ketua-ketua Jabatan HPUSM.
Teks: Rosalwani Che Soh/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 208