Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

DUA JURURAWAT HOSPITAL USM DIHANTAR BANTU PKRC MAEPS SERDANG

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 31 Disember 2020 – Dua jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) bakal dihantar untuk bertugas sebagai sukarelawan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), MAEPS Serdang di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Noor Zaimah Daud, 37, dari Wad Eksekutif USAINS dan Siti Nor Hidayu Zakaria, 28, dari Wad 1 Intan (Surgikal HDU) akan melapor diri di PKRC pada  4 Januari depan.

 12b2a597-d021-494f-985b-f6cf95924dcc.jpg

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim, ini kali pertama KKM membuka peluang kepada sukarelawan dalam kalangan jururawat Hospital USM untuk membantu mereka dalam perawatan pesakit COVID-19.

“Seperti yang semua sedia maklum, kes jangkitan COVID-19 di Selangor agak membimbangkan dan keadaan ini amat mendesak serta memerlukan tenaga kejururawatan khususnya untuk membantu merawat pesakit.

 775b34c0-6bcf-49a1-9bcc-fadfd5f4328a.jpg

“Kita menghantar dua jururawat yang tampil secara sukarela mewakili Hospital USM dan insyaAllah pada masa akan datang, kita akan hantar lagi secara berperingkat untuk membantu operasi di sana,” ujarnya.

Sukari berharap dua sukarelawan yang dihantar ini akan memberikan perkhidmatan yang terbaik di samping menjaga nama baik Hospital USM dan profesionalisme kejururawatan Hospital USM.

 cef6358a-d630-4b5a-936a-f7f159220111.jpg

“Saya yakin mereka ini sudah mempunyai pengalaman yang cukup dan dipilih berdasarkan kemampuan serta keupayaan mereka mengharungi cabaran COVID-19 ketika menguruskan pesakit Hospital USM.

“Kekuatan fizikal dan mental mereka sudah cukup membuktikan mereka bersedia mendepani cabaran dalam menguruskan prosedur ke atas pesakit COVID-19,” jelasnya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 157