ECOU 2026 PLATFORM PERKONGSIAN ILMU, PERKEMBANGAN TERKINI RAWATAN KANSER
KOTA BHARU, KELANTAN, 9 September 2026 - Onkologi merupakan bidang perubatan yang memberi tumpuan terhadap pencegahan, diagnosis, rawatan dan penyelidikan penyakit kanser.

Bidang ini melibatkan penggunaan pelbagai kaedah rawatan seperti pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi sasaran, imunoterapi dan penjagaan paliatif bagi meningkatkan peluang pemulihan serta kualiti hidup pesakit.

Dalam usaha meningkatkan akses kepada rawatan kanser yang berkualiti, Seminar ‘East Coast Oncology Update’ (ECOU) 2026 dianjurkan sebagai platform perkongsian ilmu dan jaringan profesional dalam bidang onkologi dengan menghimpunkan pakar perubatan, penyelidik, jururawat serta pengamal kesihatan dari pelbagai disiplin bagi meningkatkan kualiti rawatan pesakit kanser di negara ini.

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Onkologi Pantai Timur (ECOS) itu turut menjadi medan penting untuk membincangkan perkembangan terkini dalam penjagaan dan rawatan kanser, khususnya di wilayah Pantai Timur.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, penganjuran ECOU yang bermula sejak tahun 2016 telah berkembang menjadi satu legasi keilmuan yang signifikan dalam kalangan komuniti onkologi negara ini.

“Penganjuran semula ECOU pada tahun ini membuktikan komitmen berterusan USM dan ECOS dalam memastikan budaya perkongsian ilmu serta pembangunan profesional dalam bidang onkologi terus diperkasakan.

“Selain itu, Hospital Pakar USM (HPUSM) juga mempunyai sejarah panjang dalam penyediaan perkhidmatan rawatan kanser apabila mula menawarkan perkhidmatan Perubatan Nuklear dan Radioterapi sejak tahun 1992,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian seminar itu di Hotel Grand Riverview, hari ini.

Menurut Shaiful Bahari, selepas lebih tiga (3) dekad, HPUSM kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan teknologi canggih yang menyokong proses pengesanan, diagnosis, pementasan penyakit serta rawatan kanser secara komprehensif.
“Antara kemudahan yang tersedia termasuk mesin ‘Linear Accelerator’ (LINAC), kemudahan brakiterapi, ‘Intra-Operative Radiotherapy’ (IORT), ‘Magnetic Resonance Imaging’ (MRI), ‘Computed Tomography (CT) Scan’, ‘Breast CT’, kamera gamma SPECT/CT serta perkhidmatan rawatan radioaktif untuk pesakit kanser tiroid.
“Kesemua fasiliti ini disediakan bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang berkualiti, tepat dan berkesan selaras dengan perkembangan teknologi perubatan semasa,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut tema seminar tahun ini, “Bridging Basics and Beyond: Multidisciplinary Approaches in Oncology Care”, beliau berkata, pendekatan multidisiplin merupakan elemen penting dalam memastikan rawatan kanser yang lebih berkesan dan menyeluruh.
“Dalam persekitaran perubatan moden, rawatan kanser tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian.
“Ia memerlukan penglibatan pelbagai kepakaran termasuk pakar bedah, pakar onkologi, pakar patologi, pakar radiologi, jururawat onkologi dan kaunselor perubatan bagi merangka pelan rawatan terbaik untuk setiap pesakit,” katanya.
Pada masa yang sama, Shaiful Bahari turut menekankan keperluan untuk meningkatkan akses kepada rawatan kanser, khususnya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman Pantai Timur.
Menurutnya, cabaran geografi dan demografi memerlukan jaringan kerjasama yang lebih kukuh antara klinik kesihatan, hospital daerah, hospital negeri serta pusat rujukan serantau seperti HPUSM bagi memastikan sistem rujukan dan komunikasi yang lebih cekap dapat diwujudkan.
“Setiap pesakit berhak mendapat akses yang sama kepada rawatan kanser yang berkualiti tanpa mengira lokasi tempat tinggal mereka.

“Justeru, usaha merapatkan jurang akses ini perlu menjadi agenda bersama semua pihak,” ujarnya lagi.
Shaiful Bahari turut berharap agar penganjuran seminar berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta untuk berkongsi pengalaman, membincangkan hasil penyelidikan terkini, mencetuskan idea baharu serta memperluaskan jaringan profesional demi meningkatkan mutu perkhidmatan onkologi negara.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 122