USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 November 2021 – Pandemik COVID-19 menghantui penduduk dunia untuk tempoh yang lama dan Malaysia sehingga kini merekodkan lebih 2.5 juta kes positif dengan lebih 30,000 kematian.
Pelbagai langkah diambil kerajaan untuk membendung penularan, termasuk pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai panduan peralihan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa. Namun, bersediakah kita untuk 'hidup' bersama virus yang meragut puluhan ribu nyawa di negara ini?
Menurut Pakar Kesihatan Awam merangkap Penyelaras Bilik Gerakan COVID-19 Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohamad, endemik ditakrifkan sebagai kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat di sesuatu tempat, namun masyarakat sudah menyesuaikan diri dan belajar hidup dengan penyakit ini pada kadar rendah tetapi konstan.
“Memang benar terdapat wabak penyakit berjangkit sebelum ini seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) atau ‘Spanish flu’ yang akhirnya hilang atau kebanyakan jangkitan lain telah turun ke peringkat yang amat rendah atau ke arah eliminasi.
“Namun, tidak semua pengakhiran wabak sebegitu dan kesan daripadanya tetap dengan kadar yang pelbagai mengikut geografi,” katanya ketika menjadi panel sesi bual bicara: Menuju Endemik, Bersediakah Kita? yang berlangsung di Kampus Kesihatan, semalam.
Tambah Zahiruddin, penularan wabak COVID-19 masih tidak dapat diputuskan sehingga beberapa negara dunia kembali mengenakan ‘lockdown’ ekoran penularan virus ini tidak dapat dikawal di negara mereka.
“Endemik COVID-19 mungkin merupakan pengakhiran bagi wabak ini di seluruh dunia termasuk Malaysia di mana virus pembawa COVID-19 iaitu SARS-CoV-2 akan terus berada dalam masyarakat dan tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Oleh itu, fenomena pandemik bertukar menjadi endemik ini adalah suatu yang perlu diterima.
“Di Kelantan, wabak pandemik ini lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain ekoran beberapa faktor utama iaitu faktor masyarakat dalam menghadapi wabak ini, kadar vaksinasi yang masih lagi rendah dan pengabaian kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya lagi.
Zahiruddin berkata, dalam kita mengawal penyakit berjangkit, ianya akan terkawal sepenuhya apabila sesuatu populasi yang rentan (susceptible) telah mencapai tahap imuniti yang cukup (antaranya dengan kadar vaksinasi populasi yang tinggi) bagi mengelak virus dari mempunyai daya untuk terus merebak.
“Bagi merealisasikannya, semua pihak perlu memainkan peranan memastikan diri dan keluarga mereka divaksinasi segera sekaligus membantu negara memutuskan rantaian wabak pembawa maut ini,” jelasnya.
Pandemik COVID-19 juga meninggalkan kesan yang mendalam kepada psikologi manusia terutama terhadap kesihatan mental yang dijangka akan berpanjangan dalam tempoh yang lama.
Keresahan mengenai penularan virus ini sedikit sebanyak memberi kesan psikologi kepada kawalan pergerakan dan pengasingan diri yang turut menyumbang kepada krisis kesihatan mental.
Mengulas mengenai isu ini pula, seorang lagi panel dalam sesi bual bicara kali ini iaitu Pakar Psikiatri Hospital USM yang juga Penyelaras ‘Psychological First Aid’, Profesor Madya Dr. Asrenee Abd. Razak memberitahu, masalah kesihatan mental menjadi isu yang sangat penting akhir-akhir ini berikutan peningkatan kes-kes yang boleh dicegah seperti kemurungan, anxiety, cubaan bunuh diri dan banyak lagi.
“Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil inisiatif untuk menjaga tahap kesihatan mental rakyat Malaysia dengan memperkenalkan khidmat ‘Sokongan Psikososial dan Kesihatan Mental’ dan telah digerakkan di seluruh negara.
“Adalah perlu untuk kita mengenalpasti dan menjaga kesihatan mental, ahli keluarga, saudara mara, jiran-jiran dan orang yang berada di sekeliling ketika mereka melalui detik-detik sukar. Sebagai masyarakat yang prihatin terhadap komuniti di persekitaran, adalah penting untuk kita menyedari tentang impak psikologi atau kesihatan mental mereka ini,” katanya.
Menurut Asrenee, kepekaan kita dalam membantu mengurangkan tekanan dan tindakan proaktif menerusi pendidikan kesihatan, penyaluran maklumat yang tepat serta panduan menguruskan tekanan dan emosi dapat mencegah impak psikologi untuk jangka masa panjang.
“Penyaluran maklumat yang tepat dan berkesan dapat mengelak penyebaran maklumat palsu yang menimbulkan ketakutan tidak berasas kepada masyarakat.
Elakkan stigma serta melabel secara negatif mereka yang dijangkiti virus COVID-19 kerana ini akan menimbulkan diskriminasi serta menghalang orang ramai untuk mendapatkan saringan dan rawatan,” ujarnya lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Unit Fotografi UKAST.