EWBC 2025: PERTINGKAT KESEDARAN PEMERIKSAAN AWAL KANSER PAYUDARA MASYARAKAT PANTAI TIMUR
JERTEH, TERENGGANU, 10 September 2025 – Kanser payudara kekal sebagai kanser utama dan pembunuh nombor satu dalam kalangan wanita di seluruh dunia.

Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan (2017–2021) oleh Institut Kanser Negara, kanser payudara adalah antara 10 jenis kanser tertinggi yang dihidapi masyarakat, dan paling kerap menyerang kaum wanita dengan peratusan setinggi 38.90 peratus (%). Statistik ini cukup membimbangkan dan menuntut semua pihak untuk mengambil tindakan yang proaktif melalui kesedaran awal, pendidikan kesihatan dan pemeriksaan secara berkala.

Menyedari hakikat tersebut, Unit Kesedaran dan Penyelidikan Kanser Payudara (BestARi), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengambil inisiatif menganjurkan 'East Coast Wellness Breast Carnival' (EWBC) atau Karnival Kesihatan Payudara Pantai Timur 2025 di dua (2) lokasi berlainan iaitu di Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan, Tumpat pada 8 hingga 9 September dan di Masjid Hadhari, hari ini.

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria, penganjuran karnival seperti itu memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik masyarakat tentang tanda-tanda awal kanser payudara selain meningkatkan kefahaman tentang kepentingan pemeriksaan sendiri secara berkala serta memberi pendedahan kepada kaedah rawatan terkini.

“Jangan biarkan ketakutan atau stigma menghalang kita daripada mengambil langkah pertama ke arah kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.

“Usaha kita hari ini mungkin tampak kecil, tetapi kesannya mampu membawa perubahan besar. Setiap risalah yang diedarkan, setiap ceramah yang disampaikan dan setiap individu yang menjalani saringan, semuanya adalah langkah ke arah komuniti yang lebih sedar dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri,” katanya ketika merasmikan karnival itu.

Tambah Zaidi, EWBC 2025 yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Masjid Al-Ismaili, Masjid Hadhari dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) itu mencerminkan komitmen yang tinggi dan kesungguhan bersama semua pihak untuk memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kesihatan wanita yang telah lama menjadi penyumbang utama kepada kematian dalam kalangan wanita, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

“EWBC 2025 membuktikan bahawa kerjasama erat antara institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya pemeriksaan awal dan pencegahan kanser payudara.

“Semoga momentum dan semangat yang ditunjukkan melalui karnival ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja dalam karnival tahunan seperti ini, tetapi juga melalui kolaborasi berterusan yang dapat memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat,” ujarnya lagi.

Karnival pada hari ini turut diisi dengan slot ceramah kesihatan bertajuk ‘Rasa, Response, Rawat (3R)’ oleh Profesor Madya Dr. Wan Faiziah Wan Abdul Rahman; ‘Pasca-Pembedahan: Pulih Aktif, Minda Optimis, Kembali Produktif’ oleh Dr. Fatimah Az-Zahraa’ Dinsuhaimi dan ceramah ‘Memberi MAKNA dalam Kehidupan’ yang menekankan kepentingan sokongan komuniti, motivasi dan empati kepada pesakit kanser oleh Ahmad Nu’man Abd Rahman.


Antara aktiviti lain yang diadakan ialah pertandingan mewarna, pertandingan dekorasi kek, reruai pameran serta pemeriksaan kesihatan percuma termasuk saringan kanser payudara menggunakan teknologi ‘Automated Breast Ultrasound’ (ABUS) yang turut disediakan kepada pengunjung.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 385