FesKI 2026: PERKUKUH PENGHAYATAN NILAI ISLAM, BENTUK MAHASISWA HOLISTIK USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Jun 2026 – Festival Kelestarian Islam (FesKI) 2026 merupakan program tahunan yang menghimpunkan pelbagai aktiviti kerohanian, pendidikan, kesukarelawanan dan kemasyarakatan bagi memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan mahasiswa Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Program yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 11 Jun dan berakhir semalam ini bertemakan ‘Menyulam Ukhuwah, Menyantun Ummah’, menjadi platform membina sahsiah, memupuk perpaduan serta melahirkan mahasiswa yang holistik, berakhlak dan berdaya saing.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, komitmen yang ditunjukkan oleh para mahasiswa dalam merancang serta melaksanakan program tersebut membuktikan keupayaan mereka sebagai pemimpin masa hadapan yang berkualiti dan berwibawa.
"Tema penganjuran FesKI kali ini amat bertepatan dengan aspirasi universiti dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek intelek, sahsiah dan spiritual.

“Tujuan utama festival ini dianjurkan adalah untuk memupuk penghayatan nilai-nilai kelestarian Islam dalam kehidupan seharian, di samping menjadi medium dakwah yang mampu menyatukan seluruh warga kampus dan komuniti setempat," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup FesKI 2026, semalam.

Tambah Wan Jaafar, melalui pelbagai pengisian rohani dan jasmani yang disediakan, festival ini berjaya membentuk sahsiah mahasiswa yang lebih seimbang selaras dengan tuntutan agama dan keperluan semasa.

"Penganjuran FesKI 2026 bukan sekadar sebuah festival tahunan, malah memberikan impak yang signifikan kepada pembangunan mahasiswa dan imej universiti secara keseluruhannya.

"Sebagai sebuah Universiti APEX, USM sentiasa komited melahirkan mahasiswa holistik menerusi konsep H.E.B.A.T (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate and Thinking) yang menekankan kecemerlangan akademik, kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan spiritual," ujarnya lagi.

Beliau berkata, program seperti ini membuktikan bahawa mahasiswa USM bukan sahaja cemerlang di dalam dewan kuliah, malah aktif menyumbang kepada komuniti, memiliki nilai kepimpinan yang tinggi serta berpegang teguh kepada ajaran Islam yang bersifat ‘Rahmatan Lil-alamin’.

“Melalui festival seperti ini juga, mahasiswa didedahkan dengan pengisian yang mampu memperkukuh kefahaman agama, membentuk jiwa yang kental serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan terbaik dalam setiap aspek kehidupan.

"Penghayatan terhadap sirah dan sunnah Rasulullah mampu melahirkan individu yang berakhlak mulia, berdisiplin, bertanggungjawab serta mempunyai jati diri yang tinggi dalam menghadapi cabaran dunia moden," tegasnya.

Beliau turut berharap agar roh dan semangat FesKI tidak terhenti setakat penganjuran festival ini sahaja, sebaliknya diteruskan sebagai agenda tahunan yang lebih besar dan komprehensif melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) demi melahirkan generasi mahasiswa yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.

Pelbagai aktiviti dan acara menarik diadakan sepanjang FesKI 2026 seperti Gema Mahabbah Kasih Nabawi bersama Ustaz Azlan Shah, program Subuh Macam Jumaat bersama PU Riz, Karnival Masjid ‘Unity: Nurturing Faith’ yang penuh dengan aktiviti kemasyarakatan, program derma darah dan saringan kesihatan, bual bicara santai bersama Iddin Ramli, Pertandingan Nasyid Nada Citra Rabbani dan banyak lagi.

Turut hadir memeriahkan Majlis Penutup Feski 2026 ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Pengarah, Pusat Islam, Kampus Kesihatan USM, Amira Abdul Sattar; Penolong Pendaftar Kanan menjalankan tugas Ketua Jabatan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kesihatan USM, Khairul Ithma Mahdi dan Pengarah FesKI 2026, Raed Kifah Ahmad Irfan.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman dan Damia Ardini Abdul Rahman (AJK Fotografi FesKI 2026)
- Created on .
- Hits: 210