Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

FIT@HPUSM PLATFORM DIDIK MASYARAKAT TENTANG KEPENTINGAN KEBERSIHAN TANGAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mei 2026 - Amalan Penjagaan kebersihan tangan dalam kehidupan perlu dititikberatkan sejak di awal usia lagi.

Kepentingan menjaga kebersihan tangan merupakan perkara penting dalam usaha meningkatkan penjagaan kesihatan secara menyeluruh memandangkan permukaan yang disentuh berkemungkinan terdedah kepada bakteria atau virus yang boleh menjadi punca penyebab penyakit.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 11

Atas dasar itu, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus memperkasa budaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kebersihan tangan melalui penganjuran Program FIT@HPUSM bersempena Sambutan ‘World Hand Hygiene Day’ 2026 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 5

Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani dalam ucapannya berkata, program tersebut bukan sahaja mencerminkan usaha berterusan hospital dalam mempromosikan gaya hidup sihat, malah menjadi platform penting dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.

Beliau berkata, program FIT@HPUSM yang diperkenalkan secara bulanan sejak tahun lalu merupakan inisiatif strategik bagi menggalakkan warga kerja mengamalkan gaya hidup sihat dan seimbang merangkumi aspek fizikal, mental, emosi serta sosial.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 7

“Pada tahun ini, program ini diperluaskan dengan penyertaan kepada komuniti setempat serta diselaraskan dengan sambutan hari kesihatan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Langkah ini selaras dengan aspirasi HPUSM untuk bukan sahaja menjadi penyedia perkhidmatan kesihatan, malah berperanan aktif dalam pembangunan kesejahteraan masyarakat melalui pendidikan dan pendedahan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 10

Ab. Rahman Izaini turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN Kelantan) atas kerjasama strategik dalam menjayakan program tersebut, termasuk penglibatan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Kubang Kerian.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 9

Katanya lagi, kerjasama antara sektor kesihatan dan pendidikan amat penting dalam memastikan mesej kesihatan dapat disampaikan secara lebih meluas dan berkesan, khususnya kepada generasi muda.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 4

Dalam pada itu, Ab Rahman Izaini turut menegaskan bahawa sambutan ‘World Hand Hygiene Day’ merupakan inisiatif global yang menekankan kepentingan amalan kebersihan tangan dalam mencegah penularan penyakit berjangkit.

“Selari dengan tema ‘Action Saves Lives’, setiap tindakan kecil seperti mencuci tangan mampu memberi impak besar dalam melindungi diri, pesakit dan komuniti daripada jangkitan.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 6

“Di HPUSM, pematuhan kepada Protokol Pencucian Tangan termasuk konsep ‘Five Moments for Hand Hygiene’ sentiasa diberi penekanan sebagai amalan utama dalam persekitaran klinikal,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembudayaan amalan kebersihan tangan memerlukan komitmen kolektif semua pihak termasuk pengurusan, petugas kesihatan, pesakit dan ahli keluarga.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 8

“Usaha pencegahan seperti kebersihan tangan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko penyakit, malah membantu menjimatkan kos rawatan yang semakin meningkat serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” ujarnya lagi.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 13

Sambutan ‘World Hand Hygiene Day’ turut diserikan dengan aktiviti senamrobik yang disertai lebih 200 peserta yang hadir dalam program itu.

WhatsApp Image 2026 05 05 at 3.49.33 PM 12

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 232