KOTA BHARU, KELANTAN, 7 Oktober 2021 - Hampir 100 orang pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Sullamiah, Bunut Payung di sini menerima dos pertama suntikan vaksin Pfizer melalui Program Outreach KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) dengan kerjasama Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).
Program Outreach KRIS adalah antara inisiatif oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Hospital-hospital Pengajar Universiti (HPU) bertujuan membantu negara keluar dari kemelut pandemik COVID-19, termasuklah pemberian vaksin dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri.
Menurut Penolong Penyelaras Program Outreach – KRIS, Hospital USM, Dr. Norhayati Mohamad, program pada hari ini dilihat mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan pelajar.
“Seawal jam 8.30 pagi lagi mereka telah menunggu giliran untuk vaksinasi dan ini membuktikan mereka mahu divaksin sekaligus menyangkal isu mengatakan mereka enggan menerima vaksin disebabkan kesan sampingan dan sebagainya.
“Saya percaya bahawa program 'outreach' ini memudahkan proses pemberian vaksin kepada gologan sasaran di samping lokasi yang dekat dengan kediaman mereka.
“Inilah masanya ibu bapa menggunakan peluang yang ada untuk memberi perlindungan kepada anak-anak dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 apabila sesi persekolahan dibuka bagi pembelajaran secara bersemuka,” katanya.
Tambah Norhayati, Program Outreach KRIS ini akan diteruskan lagi ke Sekolah-Sekolah Agama di bawah Yayasan Islam Kelantan dan Swasta di seluruh negeri Kelantan.
Sementara itu, menurut salah seorang pelajar yang juga penerima vaksin pertama dalam program itu, Mohamad Nasrullah Shamsuddin, 13, beliau sedikit berdebar untuk menerima vaksin namun tetap bersemangat bagi meneruskan niatnya.
“Selain ingin melindungi diri sendiri, saya juga ingin melindungi keluarga dan rakan-rakan saya seterusnya dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
"Saya rindu suasana belajar secara bersemuka kerana sudah hampir dua tahun saya terpaksa mengikuti pembelajaran secara 'online'. Saya sangat berharap agar lebih ramai rakan-rakan saya hadir menerima suntikan vaksin agar kita semua dapat segera berkumpul untuk belajar seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda negara,” ujarnya.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abd Rahman