Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HARGAI JASA DAN KECEMERLANGAN STAF: 287 TERIMA APC HOSPITAL USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Julai 2023 – Seramai 287 staf Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 dan Anugerah Khidmat Sanjungan Budi (AKSB) di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 26 orang penerima adalah daripada kumpulan pengurusan dan profesional manakala 261 lagi terdiri daripada staf kumpulan pelaksana serta 33 orang penerima AKSB.

3d5e07e4 2eac 4860 8033 a11b7feea4c6

Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman semasa menyampaikan ucapan berkata, majlis tersebut diadakan bertujuan menghargai jasa staf yang selama ini bertungkus lumus dan komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang tahun 2022 selain menghargai warga Hospital USM yang telah genap 25 tahun memberi perkhidmatan.

“Pengiktirafan ini adalah sebagai tanda Hospital USM menghargai jasa warganya yang telah memberikan khidmat terbaik kepada Hospital USM melalui prestasi kerja yang cemerlang.

34f25c97 7d62 41b8 959f 52295d2d1590

“Saya berharap pengiktirafan seumpama ini akan menjadi pendorong dan pemangkin kepada semua untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti, lestari serta menjulang nama universiti di peringkat kebangsaan mahupun di persada dunia,” ujarnya.

Tambah Nik Hisamuddin, cabaran masa hadapan memerlukan kesediaan warga Hospital USM untuk bekerja keras, bertindak pantas serta kreatif dan inovatif dalam menyampaikan perkhidmatan.

5b76e533 3d4a 4807 b987 884754917b5f

“Hal ini memerlukan keupayaan staf untuk berfikir secara strategik, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi dengan berkesan sebagai kayu ukur dalam keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

“Oleh itu, pembudayaan hasil kerja berprestasi tinggi dalam suasana kerja berpasukan yang harmoni dan ‘happiness index’ yang tinggi harus dijadikan sebagai pemangkin untuk mencapai kecemerlangan universiti amnya dan Hospital USM secara khususnya,” katanya lagi.

bf108f2d 28bb 4d57 82e9 258b43a8569f

Nik Hisamuddin turut menasihati warga Hospital USM agar menggunakan kemudahan kecanggihan teknologi ke arah yang lebih baik, berfaedah dan memberi kesan positif bukan sahaja kepada warga USM malah masyarakat keseluruhannya.

“Adalah penting untuk kita sebagai warga Hospital USM menjaga imej serta nilai yang baik bagi mengekang penularan budaya menyebar (viral) sesuatu perkara yang tidak sahih atau membawa impak kurang menyenangkan untuk tontonan masyarakat umum.

0e13f1ef 6c56 4e95 8de1 820281434540

“Namun, pada sisi yang lain, budaya viral ini juga boleh dijadikan sebagai platform yang baik sekiranya kita mampu menawarkan perkhidmatan, sikap serta budaya kerja yang terbaik kepada pelanggan Hospital USM,” jelasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Klinikal), Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Timbalan Pendaftar Kanan, Mohd Saberi Mohd Yusoff.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 237