HARI DIABETES SEDUNIA PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2025: USM SERU MASYARAKAT UTAMAKAN PENCEGAHAN AWAL
KOTA BHARU, KELANTAN, 13 November 2025 – Penyakit diabetes merupakan antara penyakit tidak berjangkit yang paling berbahaya kerana ia boleh menjejaskan hampir semua organ penting dalam tubuh jika tidak dikawal dengan baik.

Paras gula dalam darah yang tinggi secara berterusan boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah dan saraf, sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kebutaan serta amputasi anggota badan.
Selain itu, diabetes yang tidak dirawat juga boleh melemahkan sistem imun tubuh, menjadikan pesakit lebih mudah dijangkiti penyakit lain dan menjejaskan kualiti hidup secara keseluruhan.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail, berkata, USM menyokong penuh usaha dalam memperkukuh kesedaran awam terhadap bahaya penyakit diabetes serta pentingnya pencegahan awal.

“Syukur di atas penganjuran program ini yang saya sifatkan sebagai platform berkesan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai penyakit diabetes dan langkah-langkah pencegahan yang wajar diambil.
“Tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas dedikasi dan komitmen tinggi dalam menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya diabetes serta kepentingan pencegahan awal penyakit tersebut,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, hari ini.

Tambah Shaiful, tema Hari Diabetes Sedunia bagi tahun 2024 hingga 2026, ‘Diabetes dan Kesejahteraan’ menekankan tiga (3) aspek utama kesejahteraan iaitu kesejahteraan fizikal, kesejahteraan masyarakat dan kesejahteraan mental.
“Ketiga-tiga aspek ini penting bagi membantu pesakit diabetes mengekalkan kesihatan dan keseimbangan dalam kehidupan seharian mereka.

“Oleh itu, akses kepada rawatan yang berkesan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti amatlah penting bagi memastikan pesakit dapat meneruskan kehidupan dengan lebih sihat, produktif dan sejahtera.
“Kesejahteraan mental pesakit kronik sering kali diabaikan, walhal tekanan, kebimbangan serta rasa rendah diri yang dialami boleh menjejaskan keberkesanan rawatan dan pengurusan penyakit mereka,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, sejajar dengan tema itu, sambutan kali ini disasarkan kepada komuniti penjawat awam di peringkat negeri dan persekutuan sebagai usaha memperluas kefahaman mengenai risiko diabetes serta langkah-langkah pencegahan awal dalam kalangan masyarakat yang bekerja.

“Menurut National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023, diabetes kini menjadi antara penyebab utama kematian di Malaysia dan kajian menunjukkan bahawa 15.6 peratus (%) rakyat Malaysia atau seorang daripada setiap enam (6) orang dewasa, menghidap diabetes, sementara 84% daripada mereka tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya menghidap penyakit tersebut.
“Keadaan ini menimbulkan cabaran besar dalam usaha membendung dan mengawal penularan diabetes di negara ini. Justeru, pelaksanaan sambutan seperti ini amat penting untuk memperkukuh usaha pendidikan kesihatan awam,” jelasnya.

Shaiful berkata lagi, sebagai langkah berterusan, KKM menetapkan 14 November setiap tahun sebagai Hari Diabetes Sedunia bagi memperingati usaha global dalam memerangi penyakit ini dan sambutan ini juga bertujuan menggalakkan masyarakat menjalani gaya hidup sihat, melakukan saringan kesihatan serta memahami risiko penyakit tidak berjangkit.
“Pepatah ‘mencegah lebih baik daripada merawat’ wajar dijadikan pegangan dalam membina budaya kesihatan masyarakat Malaysia dan kejayaan kempen kesedaran ini amat bergantung kepada tahap kesedaran dan tanggungjawab individu terhadap kesihatan diri sendiri.

“Saya menyeru kepada semua yang hadir agar sentiasa membuat pilihan yang bijak dalam pemakanan dan aktiviti harian, melakukan saringan kesihatan secara berkala dan menyebarkan mesej kesihatan ini kepada keluarga serta komuniti setempat,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha meningkatkan kesedaran kesihatan memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak termasuk kerajaan, masyarakat, badan bukan kerajaan serta institusi pendidikan.

“Dengan penglibatan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat, kita bukan sahaja dapat mengurangkan beban penyakit diabetes, malah dapat membentuk generasi yang lebih sihat, produktif dan sejahtera,” katanya.
Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2025 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran interaktif, demonstrasi senaman serta sesi perkongsian pengalaman daripada pesakit diabetes.

Turut hadir semasa majlis perasmian tersebut ialah Pengarah Pendidikan, JPN Kelantan, Hajah Siti Norina Muhamad; Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Negeri Kelantan, Ustaz Mahadi Awang; Timbalan Pengarah (Klinikal) mewakili Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Pengerusi Diabetes Malaysia Cawangan Kelantan, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Izani Wan Mohamed dan Pengarah Projek Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2025, Dr. Nur Izat Muhamad.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 337