HARI LEBAH SEDUNIA 2025 PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI-AKADEMIA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Mei 2025 – Hari Lebah Sedunia disambut pada 20 Mei setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global tentang peranan penting lebah dan pendebunga lain dalam ekosistem serta keselamatan makanan sejagat.
Sambutan ini juga menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil langkah aktif dalam memelihara populasi lebah yang kini semakin terancam akibat perubahan iklim, pencemaran dan kehilangan habitat.
Selaras dengan misi APEX Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menerajui agenda pembangunan lestari dan kesejahteraan komuniti, Sambutan Hari Lebah Sedunia 2025 yang disambut hari ini menterjemahkan komitmen USM dalam mendokong kelestarian biodiversiti, khususnya dalam bidang pemeliharaan lebah dan inovasi produk berasaskan madu tempatan.
Ketua Projek Sambutan Hari Lebah Sedunia 2025 yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa berkata, program tersebut membuka ruang dialog dua hala antara penyelidik dan komuniti bagi memperkukuh pemindahan teknologi dan amalan penghasilan madu berkualiti.
“Peluang seumpama ini menyatukan pihak industri dan akademia dalam memperkukuh rantaian nilai madu tempatan serta menyokong usaha konservasi lebah untuk manfaat jangka panjang.
"Kami percaya bahawa Malaysia mampu muncul sebagai hab penyelidikan dan inovasi madu kelulut terkemuka di rantau ini," ujarnya ketika ditemu bual.
Sempena sambutan Hari Lebah Sedunia tahun ini, USM turut bekerjasama dengan Persatuan Usahawan Lebah Kelulut Darul Naim, beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melaksanakan program Kembara Kelulut Pantai Timur 2025.
Antara aktiviti yang turut dijalankan sepanjang sambutan Hari Lebah Sedunia 2025 ialah ceramah Khasiat Debunga Kelulut oleh Profesor Madya Dr. Mahaneem Mohammed, ceramah Perkembangan Kajian Klinikal Madu Kelulut oleh Dr. Mohd Zulkifli Mustafa, pameran hasil kajian klinikal oleh para penyelidik USM yang menampilkan pelbagai dapatan dan inovasi berkaitan madu kelulut.
Kemuncak sambutan adalah majlis pelepasan konvoi Kembara Kelulut Pantai Timur 2025 yang melibatkan lebih 50 peserta terdiri daripada penternak, pengusaha madu dan penyelidik dari pelbagai institusi. Konvoi tersebut dilepaskan dari Pusat Translasi Advance National Honey Landmark (AnNAhL), Kampus Kesihatan USM dan akan menjelajah ke beberapa lokasi strategik seperti Tasik Kenyir, Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Rumah Madu Terengganu (RAHMAT) dan berakhir di UMPSA.
Pelepasan konvoi ini disempurnakan oleh Timbalan Dekan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud.
Sambutan ini bukan sahaja mengukuhkan jalinan strategik antara universiti dan industri, malah turut memperkasakan komuniti dalam menerajui pembangunan lestari berasaskan sumber semula jadi negara. Inisiatif sebegini membuktikan komitmen bersama dalam memelihara biodiversiti sambil memperluas potensi ekonomi madu kelulut sebagai warisan tempatan yang bernilai tinggi.
Teks: Rosalwani Che Soh & Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansur (Pelajar Latihan Industri UiTM)/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 94