HAYATI ERTI SEBENAR PENGORBANAN, BUKAN SEKADAR LAKSANAKAN SEMBELIHAN - PENGARAH KAMPUS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Jun 2025 – Nilai pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan merupakan asas penting dalam membina masyarakat penyayang, bertanggungjawab dan prihatin.
Prinsip inilah yang dizahirkan menerusi pelaksanaan Majlis Ibadah Korban Peringkat Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) 1446H, yang berlangsung di perkarangan Masjid Mukim Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang merasmikan majlis berkenaan menegaskan bahawa program seumpama ini bukan sekadar acara tahunan semata-mata, tetapi merupakan satu bentuk penghayatan terhadap ajaran Islam yang mendalam.
“Ibadah korban mengingatkan kita kepada pengorbanan agung Nabi Ibrahim a.s. dan ketaatan Nabi Ismail a.s. dalam menerima perintah Allah SWT.
“Nilai-nilai ini bukan sahaja relevan dalam konteks ibadah tetapi juga perlu diterapkan dalam budaya kerja harian, terutamanya bagi warga Kampus Kesihatan yang berkhidmat dalam bidang kesihatan dan kebajikan masyarakat,” katanya.
Sebagai lambang kebersamaan dan tanggungjawab sosial institusi, sebanyak tujuh (7) ekor lembu dan enam (6) ekor kambing telah dikorbankan dalam majlis tersebut. Daging korban kemudiannya diagihkan kepada lebih 400 penerima, terdiri daripada golongan asnaf, staf pencucian, staf sokongan, sukarelawan dan pelajar antarabangsa.
Program ini turut mendapat sokongan padu dari Pusat Islam Kampus Kesihatan USM selaku urus setia utama, dibantu barisan sukarelawan daripada pelbagai jabatan dan unit. Penglibatan aktif pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen seluruh warga kampus dalam menjayakan agenda kesejahteraan masyarakat.
Selain menyempurnakan ibadah korban, majlis ini turut menjadi medan memperkukuh ukhuwah antara warga kampus di samping menyemai semangat kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan dan ia selaras dengan nilai-nilai murni yang didukung USM sebagai universiti penyayang.
Majlis hari ini berakhir dalam suasana penuh harmoni dan gotong-royong yang menggambarkan semangat kebersamaan terus subur dalam komuniti kampus.
Teks: Rosalwani Che Soh & Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansuri (Pelajar Latihan Industri UiTM)/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 109