Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HIDUPKAN KONSEP TA'AWUN DALAM ORGANISASI, JADIKAN PEMERINTAHAN RASULULLAH SEBAGAI INSPIRASI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Oktober 2023 – "Konsep pemerintahan yang dituntut oleh Islam merupakan satu amanah yang sentiasa berada dalam ruang lingkup ikatan perjanjian di antara manusia dengan pencipta-Nya.

IMG 20231019 WA0044

“Setiap apa yang dilakukan oleh pemimpin hendaklah dibuat semata-mata atas dasar untuk menjaga kemaslahatan ummah. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW menuntut hubungan yang erat antara pemimpin dan masyarakat berlandaskan sifat saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain,” demikian kata Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.

IMG 20231019 WA0048

Menurut beliau, perkara ini amat wajar diamalkan oleh semua warga USM bagi memastikan segala perancangan dan gerak kerja berpasukan dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui kerjasama dan konsep ta'awun dalam setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ).

“Elemen kasih sayang, saling menghormati sesama individu tanpa mengira jawatan dan gelaran merupakan asas kepada kejayaan bersama.

IMG 20231019 WA0047

“Kita semua wajar mengambil iktibar bahawa kecemerlangan kerajaan Madinah adalah kerana kekuatan sosiopolitik yang menjamin hak dan keadilan warga, keberkesanan penyatuan ummah dan pembangunan ekonomi yang dinamik.

“Rasullullah SAW mengutamakan kepentingan ramai berbanding individu dan tidak memperjuangkan agenda sempit, sebaliknya berlaku adil dengan membangunkan satu gagasan untuk kesejahteraan semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kampus Kesihatan, 2023/1445H, hari ini.

IMG 20231019 WA0049

Tambah Shaharum, tema sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kampus Kesihatan pada tahun ini iaitu “Nabi: Inspirasi Insani dan Madani” menekankan penyatuan hati dan menumpukan usaha ke arah memelihara kemaslahatan ummah dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai panduan dan inspirasi kehidupan.

IMG 20231019 WA0046

“Janganlah kita terlalu jauh menyimpang dari landasan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kerana baginda telah memberi contoh dan model yang cukup sempurna untuk kita teladani bersama dan menerangi jalan yang benar lagi adil.

“Oleh itu, kita perlu bangkit bersama dan memberi keutamaan kepada kemaslahatan ummah dengan menjunjung petunjuk dan tauladan yang telah diwasiatkan oleh seorang insan yang paling sempurna dan mulia ini,” jelasnya lagi.

IMG 20231019 WA0045

Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah Pelancaran Tabung Sumbangan Kemanusiaan Palestin bagi membantu meringankan penderitaan penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.

Shaharum turut berharap semoga Allah SWT melindungi negara dan rakyat Malaysia dari sebarang musibah dan bahaya serta berdoa agar rakyat Palestin diberi kekuatan dan kesabaran dalam menempuh ujian yang sedang mereka hadapi.

IMG 20231019 WA0050

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad; Penceramah Jemputan yang juga Pensyarah, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir; Qari Jemputan merangkap Bilal Masjid As-Salam Pengkalan Chepa, Khairul Azwar Alias dan Timbalan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kesihatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur; Amira Abd. Sattar@Ismail.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 425