USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 September 2021 - “Rasai suntikan semangat dan hayati momentum konsep hijrah yang disebarkan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh umat untuk kita benar-benar faham apa itu hijrah”, demikian kata Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) semasa merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1443H, peringkat Kampus Kesihatan pagi ini.
Sambutan yang dianjurkan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan itu diadakan secara maya menerusi aplikasi webex dan facebook dengan membudayakan norma baharu malahan cara sebegini lebih berkesan kerana ia dapat diikuti oleh masyarakat luar walau di mana mereka berada dan tidak tertakluk kepada warga USM sahaja.
Bertemakan ‘Warga Rabbani Universiti Diberkati’ Shaiful mengajak seluruh warga USM amnya dan Kampus Kesihatan khususnya untuk memahami makna hijrah dalam konteks yang lebih luas dan tidak hanya merujuk kepada perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain.
“Dalam memartabatkan kecemerlangan Universiti, kita perlu melihat dari perspektif yang menyeluruh, penghijrahan total semua warga USM bermula dari pentadbir, pensyarah, pengurusan, staf sokongan serta pelajar bagi mewujudkan semangat kebersamaan.
“Sempena kedatangan tahun baru hijrah ini, saya menyeru untuk kita semua merubah diri ke arah menjadi manusia yang lebih baik, cemerlang duniawi dan ukhrawi, lebih berdisiplin, lebih bekerjsama, seterusnya melibatkan diri dalam agenda Universiti demi mencapai hasrat menjadikan USM sebagai sebuah Universiti terulung di rantau ini”, katanya lagi.
Tambah Shaiful, sebagai umat Islam, kita perlu menggali pengajaran di sebalik penghijrahan Rasulullah SAW yang mana baginda memperkukuhkan ikatan ukhuwah dan kasih sayang.
"Tidak dapat dinafikan, sifat saling berkasih-sayang, mengambil berat, simpati dan empati terhadap permasalahan sesama manusia atas dasar ukhuwah mampu membentuk kesatuan ummah yang mantap," ujarnya.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan bantuan kepada warga kampus serta kariah Masjid Mukim Kampus Kesihatan yang memerlukan iaitu Bantuan Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi, Bantuan Sara Hidup kepada pelajar, Kit Maidaturrahman kepada yang terkesan dengan COVID-19 serta Bantuan Katil kepada pesakit terlantar.
Turut mengikuti majlis perasmian tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah (Ketua Pentadbiran), Pusat Islam, Ustazah Amira Abdul Sattar @ Ismail serta Pemangku Timbalan Pengarah (Ketua Perihal Pengurusan Masjid), Pusat Islam, Ustaz Rosdian Hassan.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid